KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 yang meneliti segala isu melibatkan ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan dan syarat serta kelemahan dalam perancangan kewangan negara.
Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada Selasa itu, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas selesai sesi penggulungan oleh kementerian terlibat hari ini.
Seramai 23 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan usul itu yang berlangsung semalam dengan menyentuh pelbagai isu di setiap kementerian terlibat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran ketika menggulung perbahasan usul itu bagi JPM di Dewan Rakyat hari ini berkata Ketua Audit Negara akan mengaudit penyata kewangan Lembaga Kelayakan Profesional Undang-Undang (LPQB) setiap tahun mulai 2026, bermula dengan akaun tahun 2025.
Beliau menjelaskan mengikut undang-undang, pindaan kepada Akta Profesion Undang-Undang 1976 dengan memasukkan Seksyen 9A baharu yang memperuntukkan Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun LPQB setiap tahun adalah bersifat bukan retrospektif (non-retrospective).
“Bermakna, ia hanya berkuat kuasa ke hadapan. Namun begitu, hal ini tidak menghalang LPQB daripada mengemukakan audit tertunggak secepat mungkin. Sudah 17 tahun mereka tidak diaudit, perkara ini tidak boleh diterima dan kita tidak boleh hanya biarkan begitu sahaja.
“Ini melibatkan wang rakyat, lebih kurang RM60 juta hasil yuran calon peperiksaan termasuk daripada golongan miskin. Saya akan memohon pihak LPQB membuat audit sepanjang tempoh 17 tahun lepas dan dikemukakan kepada Parlimen sesegera mungkin,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata terdapat penurunan 40 peratus jumlah projek lewat di bawah kementerian itu berdasarkan LKAN berkenaan.
“Perbandingan status projek lewat menyaksikan LKAN 2024 merekodkan 24 projek lewat manakala laporan 2025 mencatatkan hanya 12 projek. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 40 peratus,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan terus berusaha mencari langkah penambahbaikan menerusi sesi pascanilai (post-mortem) tahunan, penetapan jadual dan pendekatan segera lain supaya projek terlibat dapat diselesaikan mengikut masa dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Sementara itu, dalam isu baki nombor pendaftaran kenderaan yang tidak dijual, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam proses membangunkan sistem penawaran semula nombor pendaftaran yang tidak terjual dalam rekod jabatan itu.
Beliau berkata sistem tersebut dikenali sebagai Sistem e-Baki, merupakan saluran tambahan yang digunakan JPJ bagi menawarkan atau menjual semula nombor pendaftaran itu kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata 11 projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaporkan lewat dalam LKAN kini hampir siap, dengan hanya satu masih tertangguh.
Beliau berkata dua projek telah siap, empat menunjukkan kemajuan memberangsangkan manakala empat lagi ditamatkan kontrak dan ditender semula.
“Kementerian sentiasa memberi perhatian terhadap teguran Ketua Audit Negara dan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi meneliti tindakan susulan. Insya-Allah setiap ringgit rakyat digunakan sebaik-baiknya,” katanya.
Turut terlibat dalam sesi penggulungan perbahasan usul LKAN 3/2025 ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial