AM > BERITA

Kerajaan Peruntuk RM1.26 Bilion Untuk Warga Emas Dalam Belanjawan 2026

10/10/2025 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Sebagai persediaan menuju negara tua, peruntukan kebajikan warga emas ditingkatkan kepada RM1.26 bilion dalam Belanjawan 2026 melibatkan 180,000 warga emas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan itu antaranya adalah untuk wang saku, bantuan sosioekonomi dan pusat aktivit kepada golongan berkenaan.

"Kita menuju negara tua menjelang 2043. Persediaan mesti dimulakan sekarang bagi menjamin kesejahteraan hidup warga emas sambil memperkukuh ekonomi penjagaan dan solidariti sosial.

"Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 akan digubal sebagai panduan strategik menyeluruh yang bakal diluncur semasa New Frontiers on Care Conference peringkat ASEAN November ini,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata Rancangan Malaysia Ke-13 menumpukan pembinaan ekosistem perkhidmatan penjagaan yang mampan, berkualiti, mudah diakses dan mampu bayar.

"Kerajaan akan membangunkan piawaian nasional bagi sektor penjagaan, yang menjadi asas kepada pengiktirafan sektor ini sebagai satu bidang profesional," katanya.

Anwar berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menawarkan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi pekerja jagaan dengan peruntukan RM5 juta.

 Beliau berkata Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pula dengan komitmen RM300 juta, telah merintis projek rumah warga emas mandiri di atas tanah Baitulmal di Kepala Batas, Pulau Pinang dengan kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

"KWAP juga sedang menilai potensi projek serupa di lokasi lain bagi memanfaatkan lebih ramai warga emas berpendapatan rendah," katanya.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan bersetuju potongan cukai dua kali bagi syarikat yang menaja latihan untuk orang kurang upaya diperluas kepada penajaan program latihan pekerja jagaan yang diiktiraf KPWKM.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan