AM > BERITA

Hari Perikanan 2025 Catat Kehadiran Lebih 17,000 Pengunjung

02/11/2025 09:46 PM

SUNGAI PETANI, 2 Nov (Bernama) -- Program Hari Perikanan (PHP) 2025 yang berlangsung tiga hari bermula 31 Okt lepas di Pantai Merdeka dekat sini, mencatatkan kehadiran lebih 17,000 pengunjung dengan nilai jualan keseluruhan hampir RM66,000.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata sambutan yang diterima menunjukkan kesedaran dan minat masyarakat yang semakin meningkat terhadap sektor perikanan sebagai sumber rezeki, peluang ekonomi serta aset semula jadi yang perlu dipelihara.

"Program ini bukan sekadar ruang untuk berhibur, tetapi platform mendekatkan masyarakat dengan usaha jabatan memperkukuh kelestarian sumber dan memperkenal inovasi baharu dalam industri perikanan.

"Penglibatan komuniti secara langsung penting bagi memastikan kesinambungan sumber laut dan perikanan darat dapat dijaga bersama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, PHP 2025 merupakan kesinambungan penganjuran julung kali pada 2024 di Putrajaya dan diteruskan tahun ini dengan objektif meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sumber perikanan serta peranan industri itu dalam menyokong keterjaminan makanan negara.

"Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari penganjuran termasuk pameran interaktif, reruai jualan, Fun Run and Fun Walk, sukan rakyat, pertandingan mewarna dan aktiviti komuniti yang menekankan mesej kelestarian dan tanggungjawab terhadap sumber perikanan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan