KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- KL RunFest 2025, festival larian dan gaya hidup pertama seumpamanya di Malaysia, bakal menempa nama sebagai satu daripada acara paling dinantikan, terutamanya oleh penggemar sukan larian.
Dianjurkan oleh Unikorn Events Sdn Bhd, ekspo yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini bermula hari ini hingga 9 Nov itu, menghimpunkan lebih 200 jenama sukan tempatan dan antarabangsa selain menyatukan pelari, usahawan dan komuniti aktif di bawah satu bumbung.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata penganjuran sulung itu dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung sekali gus menjadi lonjakan penting dalam industri sukan negara.
“Ini juga satu pemangkin kepada usaha kita dalam membudayakan sukan untuk rakyat Malaysia dan menyumbang kepada ekonomi. Kita tahu ekonomi sukan semakin berkembang, dengan nilai RM100 juta atau USD25 juta tahun ini.
“Maraton dan acara larian selalunya menyumbang kepada limpahan ekonomi. Kehadiran atlet dari seluruh pelosok dunia menonjolkan bukan sahaja negara kita sebagai tuan rumah tetapi juga hospitaliti kita yang menjadi daya tarikan utama,” katanya selepas merasmikan KL RunFest 2025 di sini hari ini.
KL RunFest 2025 menampilkan dua pavilion utama iaitu Pavilion Perniagaan sebagai hab jaringan industri dan Pavilion Komuniti yang menghimpunkan lebih 80 kelab larian tempatan serta 16 sesi perkongsian inspirasi daripada pemimpin komuniti sukan.
Pada 8 Nov, KL RunFest 2025 akan dimeriahkan dengan acara larian komuniti “KL RunFest Together-Gether Shake Out Run”, yang dijangka menarik penyertaan kira-kira 800 pelari elit dan amatur.
Acara percuma itu melibatkan jarak larian 3.5 kilometer (km) hingga 5 km, bermula 6.30 pagi dari pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Festival selama empat hari itu akan melabuhkan tirai dengan acara “Mizuno KL RunFest S/Ekiden” pada 9 Nov, iaitu larian berganti-ganti berpasukan sejauh 30 km dengan setiap pasukan terdiri daripada lima pelari yang perlu melengkapkan 21 pusingan di trek Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu, Pengasas Bersama KL RunFest 2025 Niklas Yong berkata industri sukan larian kini berkembang dengan pesat dan penganjur berhasrat memainkan peranan utama dalam memacu momentum luar biasa itu.
“KL RunFest 2025 ialah sebuah platform inklusif yang menghimpunkan setiap bahagian dalam ekosistem larian, daripada jenama komersial hinggalah kepada kelab larian peringkat akar umbi,” katanya.
Niklas berkata dengan gabungan pameran, perlumbaan dan aktiviti komuniti KL RunFest 2025 bakal menjadi hab sehenti terbesar bagi peminat sukan, gaya hidup aktif dan komuniti larian sekali gus merancakkan lagi perkembangan sukan itu di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial