SEREMBAN, 8 Nov (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri di Dewan Orang Ramai Taman Seremban Jaya di sini hari ini.
Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Ketibaan baginda berdua disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sementara itu ketika ditemui pemberita, Aminuddin berkata pihaknya berterima kasih kepada para pengunjung terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa yang memeriahkan sambutan itu bermula 11 pagi tadi.
“Sambutan Deepavali di negeri ini dianjurkan mengikut daerah, pada tahun ini Seremban menjadi tuan rumah. Kemeriahan serta sokongan masyarakat berbilang kaum amat meriah dan penuh semangat menggambarkan keharmonian di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian dan sokongan kepada masyarakat berbangsa India di negeri ini melalui pelbagai bentuk bantuan serta inisiatif yang disalurkan tanpa sebarang perbezaan.
Lebih 20 jenis juadah disediakan antaranya capati, roti canai, kari kambing, puri, sate dan nasi beriani dan acara itu turut diserikan dengan persembahan artis tempatan, tarian dan nyanyian.
Aminuddin turut memberikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaran berkata keunikan sambutan Deepavali kali ini turut terserlah dengan sokongan penduduk dari Sabah dan Sarawak.
“Di sini juga terdapat etnik Iban dan Kadazan, kebanyakan mereka menetap lebih 20 tahun dan mempunyai komuniti sendiri, pelbagai aktiviti dijalankan bersama penduduk tempatan, ia mencerminkan keharmonian serta semangat kejiranan yang kuat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial