DUNIA > BERITA

LEBIH 2,000 PENERBANGAN DIBATALKAN DI SELURUH AS SUSULAN PENUTUPAN KERAJAAN

09/11/2025 09:53 AM

HAMILTON/ISTANBUL, 9 Nov (Bernama-Anadolu) -- Kekurangan kakitangan di pusat kawalan trafik udara Amerika Syarikat (AS) serta arahan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) untuk mengurangkan empat peratus penerbangan di 40 lapangan terbang utama telah mengakibatkan lebih 2,000 penerbangan dibatalkan pada Jumaat hingga Ahad.

Menurut Anadolu Ajansi, pembatalan besar-besaran itu merupakan gangguan terkini dan mungkin yang terbesar terhadap perjalanan udara di AS sejak penutupan kerajaan bermula lebih sebulan lalu.

Pengurangan penerbangan yang diarahkan FAA bermula dengan empat peratus hujung minggu ini dan dijangka meningkat kepada enam peratus pada 11 Nov, lapan peratus pada 13 Nov, dan 10 peratus pada 14 Nov.

Syarikat penerbangan SkyWest, Southwest dan Envoy Air mencatat kadar pembatalan tertinggi, manakala United, Delta dan American Airlines turut mengalami kelewatan ketara, menurut laman pemantauan penerbangan FlightAware.

Syarikat penerbangan diminta menambah bilangan pengurangan penerbangan secara berperingkat sepanjang minggu ini. 

Setiausaha Pengangkutan Sean Duffy memberi amaran bahawa kadar itu boleh mencecah sehingga 20 peratus jika penutupan kerajaan berterusan.

Dalam wawancara bersama Fox News, Duffy menyalahkan penutupan kerajaan atas krisis kekurangan tenaga kerja, dengan menjelaskan bahawa “masalah sebenar ialah pengawal trafik udara tidak dibayar dan mereka terpaksa mencari kerja sampingan.”

Beliau turut memberi amaran mengenai kemungkinan pengurangan kapasiti yang lebih besar. 

“Jika penutupan ini tidak berakhir dalam masa terdekat, lebih ramai pengawal tidak akan hadir bekerja. 

"Maka kami terpaksa menilai tekanan ini dan mungkin meningkatkan pengurangan daripada 10 kepada 15 atau 20 peratus.”

Duffy menggesa Kongres agar segera menamatkan penutupan kerajaan. 

“Tamatkan penutupan ini, biarkan Kongres berdebat isu mereka. 

Tapi jangan jadikan rakyat Amerika dan penumpang udara sebagai tebusan bagi penutupan kerajaan yang kini telah mencapai tahap paling lama dalam sejarah.”

Penutupan kerajaan yang bermula pada 1 Okt itu telah menjejaskan pembayaran gaji kakitangan persekutuan termasuk pengawal trafik udara dan pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) yang terus bekerja tanpa menerima bayaran, lapor agensi berita itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan