AM > BERITA

Sultan Nazrin Titah Waspada Kesan AI Terhadap Kebenaran 

13/11/2025 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah meskipun kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah cara penciptaan dan perkongsian maklumat, namun ia juga menimbulkan cabaran baharu terhadap kebenaran.

Dalam titah diraja pada Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCF) Malaysia 2025 hari ini, baginda berititah adalah menjadi tanggungjawab komunikator seperti wartawan, ahli strategis, pendidik dan pemimpin untuk memanusiakan teknologi.

“Bagi memastikan inovasi tidak sama sekali menggantikan empati, dan kepantasan tidak melangkaui keikhlasan. Kita perlu senantiasa berwaspada.

“Dan dalam era maklumat salah tersebar lebih pantas berbanding pemahaman, kita mesti mendepani cabaran ini bukannya dengan permusuhan sebaliknya dengan kebijaksanaan, serta komitmen teguh terhadap kebenaran dan pendekatan secara aman,” titah Sultan Nazrin.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang serta Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong yang juga bekas Ketua Pengarang Bernama.

Sultan Nazrin bertitah bahawa dalam era digital, nilai kemanusiaan perlu terus dipupuk sebagai asas komunikasi berkesan dan kekuatan Malaysia adalah pada kepelbagaian yang menyatukan dan tutur bicara seharusnya menyatukan bukan memecahbelahkan.

“Sebagai seorang raja, beta sentiasa menyedari bahawa tutur bicara mempunyai pengaruh yang amat besar. Ketertiban wacana nasional kita menjadi cerminan kepada tahap kesantunan sesebuah negara.  

“Komunikasi yang menyuburkan pemahaman, bukan yang menggugat emosi adalah sebahagian daripada apa yang mengekalkan kemuliaan institusi dan perpaduan rakyat kita,” titah baginda.

Sehubungan dengan itu, Sultan Nazrin bertitah adalah menjadi tanggungjawab komunikator sama ada dalam kerajaan, perniagaan mahupun media untuk memelihara kebenaran, kesantunan dan ketepatan.

Baginda bertitah tutur kata yang kasar atau memecahbelahkan akan menghakis kepercayaan dan keharmonian maka mereka yang berkomunikasi secara terbuka wajar memilih perkataan dengan bijaksana kerana integriti bahasa membentuk asas utama kepercayaan awam dan kestabilan negara.

Menjelang berakhirnya Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Sultan Nazrin menyeru negara anggota badan serantau itu mengutamakan kerjasama berbanding konfrontasi, serta menggalakkan para komunikator serantau untuk merapatkan jurang dan menterjemahkan dasar kepada kefahaman.

Persidangan tiga hari yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) itu menghimpunkan lebih 500 pemimpin komunikasi, profesional media, pembuat dasar dan ahli akademik dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan