BANGI, 13 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan keputusan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan hak tuntutan 40 peratus hasil Sabah mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu pada 29 Nov ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat secara bersama hasil beberapa mesyuarat yang dipengerusikannya bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Berbelas kali mesyuarat, saya sendiri pengerusikan, di Kuching, di Kota Kinabalu dan di Kuala Lumpur," katanya kepada media selepas majlis perasmian Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di sini hari ini.
Anwar berkata rasional Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu telah dibincang dan dijelaskan secara terperinci di Parlimen hari ini.
Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan juga telah mengambil tindakan awal sebelum PRN timbul.
"Tidak (ia bukan disebabkan oleh PRN Sabah)… kita menerima keputusan itu tetapi isunya adalah alasan penghakiman," katanya.
Pada Selasa lepas, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan berhubung Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil kepada Negeri Sabah seperti yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini berkata Kerajaan Persekutuan hanya memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang membuat keputusan itu selepas mendapati wujud beberapa kekhilafan.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah tidak seharusnya dijadikan bahan perpecahan antara wilayah dan mengingatkan bahawa perbincangan mengenai hak itu perlu dilihat dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta semangat Persekutuan.
Beliau berkata persoalan mengenai 40 peratus hasil Sabah yang hangat dibahaskan, termasuk di Parlimen, adalah hak yang termaktub dalam MA63 dan wajar difahami sebagai tuntutan yang sah daripada negeri itu.
“Tidak salah Sabah merasakan bahawa sejak 1963, hasil itu perlu dipulangkan.
"Saya buat keputusan tak mau gaduh-gaduh... hasil (itu) kita cari sedaya upaya, jangan porak-peranda negara ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial