AM > BERITA

Kerajaan MADANI Komited Bangunkan Sabah, Sedia Peruntukan RM17.5 Bilion

13/11/2025 05:59 PM

KOTA KINABALU, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan MADANI meneruskan komitmen terhadap usaha memastikan kemajuan di Sabah terus diperkukuh dengan menyediakan peruntukan RM17.5 bilion bagi 2026 demi kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan projek prasarana utama seperti Pan Borneo Sabah bernilai RM13.9 bilion disambung semula di samping peningkatan kemudahan asas termasuk Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II.

"Selain itu, Kerajaan MADANI memperkukuh bekalan asas dengan peruntukan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan elektrik dan RM765 juta untuk Projek Talian Penghantaran Southern Link," menurut kementerian itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.

MOF memaklumkan perbelanjaan itu meliputi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api dan perbelanjaan pembangunan yang menyaksikan peningkatan ketara dari 2022 hingga tahun depan.

Selain itu, peruntukan tahun hadapan meliputi Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion melibatkan laluan ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau.

Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), MOF memaklumkan sembilan daripada 13 tuntutan di bawah MA63 diselesaikan semasa pentadbiran Kerajaan MADANI.

Antaranya mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendeharaan 182 selain turut menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik Sabah sehingga RM50 juta.

Kerajaan MADANI juga telah meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995) bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan