AM > BERITA

Malaysia Kekal Berdaulat, Tidak Tunduk Pada Kuasa Asing - PM Anwar

13/11/2025 05:25 PM

BANGI, 13 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak pernah tunduk dengan mana-mana kuasa asing dalam menentukan soal dasar luar serta hubungan dagang, sebaliknya negara ini kekal berdaulat dan bebas.

Anwar berkata dakwaan yang menyatakan negara ini tunduk kepada Amerika Syarikat (AS) susulan Perjanjian Perdagangan Tindak Balas (ART) adalah tidak berasas, kerana tiada mana-mana peruntukan dalam perjanjian dagang dengan AS yang menghalang Malaysia daripada bertindak menurut kepentingan keselamatan negara.

“Kita terikat dengan undang-undang dan peraturan negara kita. Kita ada hak untuk menilai semula, memberi notis untuk membatalkan (perjanjian). (Kita) diserang bertubi-tubi. Kalau benar kita tunduk pada Amerika, mengapa kita tandatangan (perjanjian) dengan China?,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025, di sini hari ini.

Anwar berkata beliau tetap menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan minggu hadapan, meskipun Amerika memilih untuk memboikot sidang tersebut.

“Saya hadir kerana jemputan Presiden Afrika Selatan (Matamela Cyril Ramaphosa). Saya tidak tunduk pada dasar luar Amerika. Kita ada dasar kita sendiri. Malaysia ini negara bebas, bermaruah dan merdeka,” tegas Perdana Menteri.

Pada masa sama, Anwar menegaskan Malaysia tidak pernah menyokong pelan 20-point plan for Gaza sebaliknya konsisten mengangkat penyelesaian komprehensif bagi Gaza dan Palestin.

“Itu beza besar. Penyelesaian komprehensif bermaksud mengiktiraf hak Gaza dan Palestin sebagai negara merdeka dan berdaulat, serta menolak kekejaman Israel di Tebing Barat," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan