AM > BERITA

Fadillah Gesa Lebih Banyak Pemain Global Dan Tempatan Sertai Kerjasama Air Inovatif

13/11/2025 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa supaya lebih banyak pemain industri global dan tempatan bekerjasama rapat dengan pengendali air serta pembetungan, selain agensi kerajaan, bagi memperkenalkan penyelesaian inovatif dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kerjasama rentas sektor yang lebih mendalam itu, amat penting bagi mempercepat peralihan Malaysia ke arah pengurusan air mampan serta memastikan keselamatan sumber jangka panjang.

Beliau berkata pengumuman bersama hari ini yang melibatkan Amazon Web Services (AWS), Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan kerajaan negeri Selangor membuktikan bagaimana penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, bersama-sama penyertaan sektor swasta, dapat memberi impak bermakna kepada masyarakat, industri dan negara.

“Kerjasama ini bersifat transformasi. Ia menjadi bukti bahawa apabila visi kerajaan Persekutuan selaras dengan pelaksanaan pada peringkat negeri, kita mampu membuka jalan kepada penyelesaian yang membawa kesan nyata kepada rakyat, industri dan negara.

“Inilah bentuk kerjasama yang kita impikan, dengan kerajaan dan industri bergerak seiring untuk menterjemah prinsip kemampanan kepada tindakan sebenar,” katanya berucap pada Majlis Pengumuman Bersama Projek Bekalan Air Terawat Semula untuk Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Agung (Air) PETRA Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri, Timbalan Setiausaha Negeri Selangor Datuk Johary Anuar mewakili Menteri Besar dan Pengarah Operasi Pusat Data AWS Asia Pasifik Jepun dan China Dr Saji PK.

Fadillah berkata penggunaan air terawat semula untuk operasi awan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam infrastruktur digital yang mampan, sambil menekankan bahawa kerjasama itu selaras dengan agenda nasional yang lebih luas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Ekonomi MADANI, dan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040).

Beliau berkata Malaysia ialah negara kedua dalam Rangkaian AWS, merangkumi Singapura, Thailand dan Indonesia, yang menggunakan air terawat semula, menonjolkan kepimpinan negara dalam inisiatif ekonomi kitaran dan bertanggungjawab terhadap iklim.

Fadillah berkata PETRA sedang memperkukuh garis panduan, mempermudah proses permit dan membangunkan dasar komprehensif mengenai air terawat semula bersama pelan hala tuju untuk menyokong industri yang beralih kepada sumber air mampan.

Beliau berkata kerajaan juga sedang memajukan mekanisme bagi industri, termasuk pusat data dan sektor strategik, untuk mengakses elektrik hijau melalui inisiatif seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), Tarif Elektrik Hijau (GET), dan solar bumbung di bawah skim Kegunaan Sendiri (SelCo).

Bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut, Fadillah berkata Malaysia mesti memperkukuh pematuhan terhadap rangka kerja AIR 2040, bagi mengelak krisis air pada masa hadapan, dengan menekankan bahawa kelestarian air jangka panjang bergantung kepada kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri, serta pematuhan konsisten terhadap garis panduan nasional.

Ditanya mengenai kajian yang mencadangkan kemungkinan krisis air dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, Fadillah menolak dakwaan itu, dengan menekankan bahawa rangka kerja AIR 2040 direka untuk mengurangkan risiko sedemikian.

“Itulah sebabnya kita melancarkan AIR 2040. Pada peringkat nasional, ini merupakan arah tuju yang jelas, tetapi pelaksanaan memerlukan kerjasama rapat dengan negeri kerana air berada di bawah bidang kuasa negeri,” katanya.

Fadillah berkata perancangan menyeluruh sedang dijalankan dan Malaysia akan kekal berdaya tahan sekiranya semua pihak berkepentingan mematuhi garis panduan yang digariskan di bawah AIR 2040.

“Dengan pematuhan sepenuhnya, saya percaya kita dapat memastikan kelestarian dari segi bekalan air, sama ada untuk keperluan pengguna mahupun industri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan