AM > BERITA

UiTM Lancar Hala Tuju Baharu Pacu Agenda Lahir Bumiputera Profesional, Berdaya Saing

13/11/2025 07:14 PM

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini memperkenalkan visi, misi dan objektif baharu sebagai hala tuju strategik dalam memperkasa peranan institusi itu melahirkan generasi bumiputera profesional yang berdaya saing serta berakhlak tinggi.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata visi baharu UiTM iaitu 'Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional' dirumus bagi menggerakkan agenda memperkasa bangsa melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan bakat masa depan.

Beliau berkata dari segi misi pula, pihaknya menetapkan UiTM memberi tumpuan kepada pembentukan insan seimbang melalui tiga teras utama iaitu keilmuan, adab dan kepakaran bagi melahirkan graduan berjiwa usahawan berfikiran maju, inovatif serta berdaya cipta.

“Perubahan teknologi, masyarakat dan ekonomi menuntut UiTM menilai semula misi serta falsafah universiti agar kekal relevan dengan keperluan semasa. Falsafah ibarat roh dan jiwa kepada segala penyelesaian serta hala tuju UiTM.

“UiTM mahu memastikan matlamat asal penubuhannya sejak 1956 terus diperkasakan. Walaupun amanahnya sama, pendekatan kita mesti berbeza mengikut peredaran waktu. Masa telah berubah, maka kami (UiTM) juga perlu bergerak seiring," katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Visi, Misi dan Objektif Baharu UiTM di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Tan Sri Mohd Khamil Jamil dengan disaksikan kepimpinan tertinggi universiti, warga akademik, alumni serta wakil industri.

Shahrin berkata penetapan visi, misi dan objektif baharu itu dirangka selepas proses libat urus selama lebih setahun bagi memastikan penjajaran hala tuju universiti bertepatan dengan keperluan semasa dan cabaran era pascanormal.

Beliau berkata pelancaran hala tuju baharu itu juga menjadi langkah pertama ke arah pelaksanaan Pelan Strategik UiTM 2026–2030 yang akan menggantikan pelan sedia ada serta menetapkan sasaran baharu melalui analisis dan penilaian semasa pencapaian universiti.

“UiTM mahu memastikan pelan strategik baharu ini bukan sahaja menjadi panduan hingga 2030 tetapi turut memacu hala tuju universiti menjelang ulang tahun ke-70 penubuhannya tahun depan.

“Kita tidak hanya menilai input dan proses tetapi menumpukan kepada impak sebenar kepada pelajar, masyarakat dan negara. Teras utama UiTM kekal pada keilmuan, adab dan kepakaran berasaskan elemen asuhan, didikan dan latihan,” katanya.

Shahrin berkata UiTM turut memperkenalkan 10 objektif strategik merangkumi akses pendidikan inklusif, kurikulum, terkehadapan, peningkatan kebolehpasaran graduan dan penyelidikan berimpak tinggi," katanya.

Beliau berkata UiTM juga memfokuskan jaringan strategik global, pembangunan insaniah holistik, tadbir urus berintegriti serta kelestarian kewangan dan organisasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan