AM > BERITA

Sekolah Angkat MADANI Beri Impak Positif, Lebih 900 Sekolah Terbabit - Fadhlina

19/11/2025 07:34 PM

NIBONG TEBAL, 19 Nov (Bernama) -- Program Sekolah Angkat MADANI telah memberikan impak dan manfaat positif kepada sekolah yang terbabit khususnya daripada aspek penyediaan kemudahan pembelajaran abad ke-21.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata setakat ini, lebih 900 sekolah di seluruh negara telah dijadikan Sekolah Angkat MADANI selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat sekolah terbabit diberikan tumpuan dan menjadi sebahagian daripada agenda besar pendidikan negara.

"Sekolah-sekolah itu mendapat manfaat yang cukup besar kerana semua kelas telahpun dilengkapi dengan peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang membolehkan program serta dasar pendidikan digital dilaksanakan dengan jayanya kerana ini antara inisiatif yang kita jayakan dalam konteks kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan digital.

"Sekolah Angkat MADANI juga melibatkan pembangunan guru, aktiviti murid, infrastruktur dan program lain yang menyumbang kepada pembangunan sekolah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini hari ini.

Pengerusi SPA Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, yang merasmikan program itu, pula berkata SK Sungai Bakap dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Sheh Barakbah telah dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI SPA berdasarkan potensi tinggi sekolah untuk menjadi model pembangunan komuniti setempat khususnya dalam pengukuhan aktiviti pembelajaran dan kokurikulum.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan itu berkata ia turut didorong oleh keperluan peningkatan infrastruktur pendidikan yang dikenal pasti melalui tinjauan di lapangan serta komitmen pentadbir sekolah dalam meningkatkan prestasi pelajar secara holistik.

"Melalui program ini, setiap sekolah telah menerima peruntukan RM100,000 bagi pelaksanaan perolehan aset, program keceriaan sekolah, pembangunan pendidikan pelajar sekolah serta perkhidmatan sosial yang merangkumi penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran.

"la termasuk kerja-kerja menaik taraf makmal komputer, bilik mesyuarat, dewan sekolah, perolehan peralatan ICT seperti papan pintar, televisyen pintar, peranti elektronik skrin sentuh, set dron, set robotik dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga memberi tumpuan kepada penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan mengalakkan kerjasama erat antara agensi kerajaan bagi melahirkan ganerasi berilmu, berdaya saing serta bersahsiah tinggi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan