GEORGE TOWN, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang merangka pelan persiapan menyeluruh dengan tumpuan terhadap pengenalan produk dan pengalaman pelancongan baharu yang menonjolkan keunikan tempatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata antara inisiatif utama yang dirangka adalah program Beyond George Town yang memperluas tumpuan pelancongan ke Seberang Perai.
“Ia akan dilaksanakan melalui pembangunan pakej agropelancongan, pelancongan sungai dan pelancongan makanan seperti jelajah kulinari di Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Nibong Tebal.
“Penekanan turut diberikan kepada pelancongan berasaskan alam dan kelestarian termasuk pemuliharaan penyu di Pantai Kerachut, jelajah hutan paya bakau dan pelancongan pertanian serta pengukuhan pelancongan kreatif dan warisan hidup melalui bengkel masakan tradisi, kraf tangan dan aktiviti seni komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini, bagi pertanyaan Tan Hooi Peng (PH-Seri Delima) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk menarik lebih banyak pelancong ke Pulau Pinang sempena TMM2026.
Dari sudut promosi pula, Wong berkata Pulau Pinang akan melaksanakan kempen pemasaran global berasaskan kandungan digital dan kerjasama dengan sektor swasta serta pempengaruh antarabangsa untuk memaparkan keunikan budaya dan warisan negeri.
Beliau berkata selain itu kerjasama dengan syarikat penerbangan, agensi pelancongan dalam talian dan pengendali pelancongan antarabangsa turut diperkukuh bagi memperkenalkan pakej khas sempena TMM2026.
“Pada masa sama, aspek pengurusan pelancongan mampan diberi tumpuan melalui sistem maklumat masa nyata bagi memantau kepadatan pelancong di tapak warisan dan menggalakkan lawatan ke kawasan alternatif,” katanya.
Beliau memaklumkan kesemua langkah itu dilaksanakan selaras dengan strategi nasional TMM2026 melalui kerjasama erat bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang turut menyediakan pelbagai geran sokongan bagi penganjuran acara pelancongan, kebudayaan dan kesenian yang boleh dimohon oleh agensi kerajaan negeri.
Bertemakan ‘Malaysia Truly Asia’ dan ‘Surreal Experiences’, TMM2026 bertujuan membawa dunia meneroka jiwa Malaysia yang sebenar menerusi keunikan budaya serta keindahan alam semula jadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial