AM > BERITA

Sabah Cadang Gubal Enakmen Baharu Permudah Urusan Hartanah - Hajiji

20/11/2025 04:30 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan memperkenal satu enakmen baharu bagi memudahkan urusan jual beli dan pengurusan hartanah sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat untuk menerajui semula pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata langkah itu penting bagi menangani halangan teknikal yang sering melambatkan proses urusan tanah dan pertukaran hak milik hartanah.

“Beberapa peraturan sedia ada sudah terlalu lama digunakan dan tidak lagi sesuai, justeru perlu digubal semula bagi mempercepat urusan antara pembeli, pemilik tanah dan pihak berkaitan.

“Kadang-kadang enakmen yang ada tidak lagi berapa sesuai kerana sudah lama, berpuluh-puluh tahun. Jadi kita perlu gubal untuk memudahkan lagi pembeli dan juga pemilik tanah, hartanah ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan penyerahan geran subsidiari 1Borneo kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Terdahulu, Hajiji dalam ucapannya bersyukur kerana penyerahan 1,974 geran subsidiari, yang ditunggu-tunggu pemilik dan pembeli kedai rumah di 1Borneo, akhirnya dapat direalisasikan.

Beliau berkata penyerahan itu membuktikan kesungguhan kerajaan GRS dalam usaha mempercepat pengeluaran hak milik strata, walaupun terdapat beberapa kekangan teknikal yang masih perlu diselesaikan.

“Yang jelas bahawa kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah melakukan terbaik untuk membantu USIA dan juga pemilik atau pembeli hartanah di 1Borneo,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu turut menunjukkan kerajaan Sabah sentiasa komited menyelesaikan isu berkaitan urusan tanah dan hartanah termasuk mencadangkan satu enakmen baharu bagi memudahkan lagi urusan antara pemaju dan pemilik.

1Borneo Hypermall memiliki empat blok kediaman merangkumi 910 geran strata, 21 geran bagi 2,300 tempat letak kereta berbumbung dan 1,043 geran komersial termasuk empat hotel dengan mempunyai 929 bilik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan