PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan 27 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang diperiksa dalam satu serbuan polis di pusat hiburan Mansion 9, Kuala Lumpur pada 26 April lepas melanggar arahan rasmi larangan berada di kawasan berisiko tinggi.
EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan mendapati pegawai dan anggota terlibat melanggar arahan rasmi bertarikh 18 Nov 2019 yang melarang kakitangan JIM berada di pusat hiburan, rumah urut, pusat perjudian atau mana-mana lokasi berisiko yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap organisasi.
Menurut EAIC, siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan kepada jadual penugasan kerana beberapa anggota JIM yang terlibat dalam kejadian itu mempunyai arahan tugasan tetapi didapati berhibur di pusat hiburan berkenaan.
“EAIC turut mengesan kelemahan dan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) siasatan tatatertib oleh pihak JIM sendiri selepas insiden berlaku, termasuk aspek proses dalaman yang tidak mengikut prosedur ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, EAIC merujuk pegawai terlibat kepada pihak berkuasa tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta pihak berkuasa tatatertib JIM, dengan cadangan tindakan di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berikutan kesalahan tatatertib iaitu cuai dalam melaksanakan tugas, tidak bertanggungjawab, tidak jujur atau tidak amanah.
Menurut EAIC, antara syor penambahbaikan tambahan termasuk pertukaran pegawai dan anggota yang telah berkhidmat lebih lima tahun di lokasi sama, penyelarasan dan pemantauan lebih ketat terhadap jadual tugas serta kehadiran, dan pegawai terlibat diarahkan membayar perkhidmatan yang digunakan di pusat hiburan bagi mengelakkan tohmahan rasuah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial