KUCHING, 23 Nov (Bernama) -- Institusi keluarga berperanan sebagai teras penting dalam pembentukan masyarakat beretika dan bertanggungjawab, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memperkukuh institusi keluarga menerusi dasar, program sokongan dan pendidikan keibubapaan yang disesuaikan dengan cabaran semasa.
“Pada masa kini, anak-anak membesar dengan pelbagai cabaran baharu, daripada pengaruh media sosial hinggalah tekanan emosi yang tidak terlihat oleh mata. Namun, dalam apa jua keadaan, keluarga tetap menjadi benteng perlindungan utama.
“Oleh itu, pengukuhan institusi keluarga perlu dilaksanakan secara holistik, merangkumi aspek ilmu keibubapaan, komunikasi berkesan, disiplin positif serta sokongan komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kem Kasih Keluarga 2.0 sempena Bulan Keluarga Kebangsaan di sini hari ini.
Nancy berkata selari dengan Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), peranan lelaki dalam pembangunan sosioekonomi negara akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan Program Lelaki Budiman yang diperuntukkan RM4 juta.
“Pada majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan pada 9 Nov lepas, Modul Kebapaan sebagai Peneraju Kepimpinan Bapa telah dilancarkan.
“Modul ini menekankan peranan bapa sebagai pelindung, pembimbing dan pemimpin keluarga. Modul ini juga membantu mereka mengimbangi tuntutan kerja dan rumah tangga, mengurus tekanan dengan bijak serta berkomunikasi secara penyayang. Walaupun tiada bapa yang sempurna, setiap bapa mampu menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada keluarga,” katanya.
Nancy berkata kerajaan turut menyediakan potongan cukai 100 peratus kepada majikan yang menganjurkan aktiviti berteraskan kekeluargaan bagi menggalakkan persekitaran kerja yang harmoni dan produktif.
“Antara aktiviti yang layak termasuk hari keluarga, sukan syarikat, jamuan atau makan malam tahunan pekerja serta program bina pasukan yang menyokong kesejahteraan keluarga.
“Bagi melayakkan majikan menuntut potongan cukai itu, beberapa syarat asas perlu dipatuhi, antaranya aktiviti mestilah dianjurkan oleh majikan sendiri serta memberi manfaat kepada semua pekerja atau kumpulan pekerja tertentu selain perbelanjaan yang disahkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial