KOTA BHARU, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan harapan agar pembudayaan integriti berasaskan nilai moral, etika dan tanggungjawab dalam kalangan penjawat awam serta masyarakat mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri ini pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha memperkukuh integriti merupakan tunjang utama dalam melahirkan warga pentadbiran dan rakyat yang bukan sahaja beramanah, tetapi cekap dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memastikan sistem tadbir urus sentiasa berada pada tahap terbaik dan bebas daripada sebarang salah guna kuasa.
“Kerajaan negeri menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku agensi peneraju dalam memperbaiki aspek pengurusan pentadbiran melalui pembangunan sistem pemantauan dalaman dan pematuhan tatakelola yang lebih efektif, sejajar dengan prosedur ditetapkan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.
Program anjuran Bahagian Integriti dan Tadbir Urus, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu dihadiri seramai 300 orang terdiri daripada ketua jabatan dan penjawat awam negeri Kelantan.
Dalam majlis itu juga, buat julung kalinya Anugerah Perlaksanaan Inisiatif Tatakelola Baik (PITB) diperkenal dan diberikan kepada agensi serta jabatan yang berjaya melaksanakan semua syor penambahbaikan tatakelola dikemukakan oleh SPRM Kelantan.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Tengku Kaya Perkasa Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, majlis sambutan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam membudayakan semangat integriti di kalangan penjawat awam serta memperkukuhkan tadbir urus demi kesejahteraan rakyat.
Dalam majlis itu turut diadakan forum bertajuk “Integriti : Kunci Kejayaan Diri Dan Organisasi'" yang menampilkan Ketua Pegawai Zakat, Majlis Agama Islam Kelantan, Ustaz Ameer Azeezy Tuan Abdullah selaku moderator bersama dua ahli panel iaitu Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan pendakwah selebriti, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan.
Majlis turut disusuli dengan lafaz ikrar integriti penjawat awam dan juga penyampaian Sijil Anti-Bribery Management System (ABMS) oleh Dr. Mohamed Fadzli kepada Dr. Tengku Mohamed Faziharudean. Turut hadir Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial