AM > BERITA

"Lali" Dengan Banjir, Penduduk Berdekatan Sungai Golok Tetap Berjaga-jaga

28/11/2025 04:27 PM

TUMPAT, 28 Nov (Bernama) -- Walaupun sudah "lali" dengan kejadian banjir setiap tahun, penduduk di kawasan berdekatan Sungai Golok tetap berjaga-jaga kerana bimbang berlaku gelombang banjir seterusnya.

Kampung Simpangan, Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Kajang Sebidang dan Kampung Kubang Sawa antara kawasan yang lazim menerima kesan awal setiap kali Sungai Golok melimpah, berikutan kedudukan yang hampir dengan sungai itu.

Menurut data Infopublic Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan 10.32 meter setakat 10.30 pagi tadi melepasi paras bahaya 9.00 meter dan menunjukkan trend peningkatan berterusan.

Bagi penduduk Kampung Simpangan, Mohamad Arif Faiz Azmi, 33, paras air di rumahnya kekal kira-kira 0.5 meter selepas hujan berterusan sejak beberapa hari lepas, menyebabkan dia dan keluarga hanya tidur-tidur ayam setiap malam kerana bimbang air kembali naik.

"Tahun lepas banjir berlaku pada awal pagi, air masuk hampir dua meter dan ramai penduduk tidak sempat selamatkan barang kerana banjir berlaku terlalu cepat.

"(Kini), barang penting semua sudah diangkat lebih awal, bot pun sudah bersedia, kami pantau paras air hampir setiap jam, risau gelombang kedua datang tiba-tiba," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Suria Jaafar, 49, berkata air di premisnya telah mencecah paras lutut, memaksanya menumpang di sebuah kedai lain kira-kira 100 meter dari lokasi kedainya untuk meneruskan perniagaan.

“Banjir kali ini banyak disebabkan hujan yang turun sejak beberapa hari lepas … saya pernah menanggung kerugian hampir RM7,000 tahun lepas setelah peralatan kedai hanyut dibawa arus," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan