AM > BERITA

MADTEC Perkukuh Ekosistem Eksport Durian - Mohamad Sabu

28/11/2025 08:47 PM

SEPANG, 28 Nov (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh ekosistem pengeksportan buah-buahan tropika negara, khususnya durian ke pasaran antarabangsa menerusi pembukaan Malaysia Durian (Tropical Fruit) Trade and Export Centre (MADTEC) hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata MADTEC dibangunkan Tropika Makmur Manufacturing Sdn. Bhd. ialah satu platform inklusif yang membuka akses eksport kepada semua, terutamanya petani kecil. 

“Dengan fasiliti pemprosesan bertaraf antarabangsa, petani kini boleh memanfaatkan infrastruktur pemprosesan yang lengkap tanpa perlu menanggung kos besar membina kilang sendiri. Hasil mereka boleh diproses mengikut standard eksport dengan lebih cekap dan teratur. 

“Saya berharap MADTEC dapat membawa mesej jelas bahawa kejayaan industri durian Malaysia mesti dinikmati secara adil oleh semua pemain, besar mahupun kecil, selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya ketika berucap merasmikan MADTEC di sini hari ini. 

Mohamad menyeru semua syarikat supaya mengoptimumkan potensi MADTEC sebagai pusat sehenti eksport dengan memastikan semua aspek termasuk rawatan sehinggalah pembungkusan mematuhi piawaian antarabangsa serta mengekalkan kualiti premium buah-buahan Malaysia.

Katanya, industri durian Malaysia telah mencatat pertumbuhan yang luar biasa dengan merekodkan nilai eksport durian sebanyak RM1.2 bilion dengan jumlah hampir 44,000 tan metrik pada 2024.

“Durian Malaysia sinonim dengan kualiti premium, aroma yang tersendiri serta varieti unggul seperti Musang King atau Raja Kunyit, Duri Hitam atau Black Thorn dan D24. 

“Permintaan global juga meningkat setiap tahun dengan negara China merupakan pengimport terbesar,” katanya.

Dalam sidang media berasingan, Mohamad berkata industri durian kini mendapat tempat di negara luar seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

“Kita harap pengusaha durian dapat pertingkatkan pengeluaran dan menjaga kualiti untuk diterima sebagai bahan eksport,” katanya. 

Kedudukan MADTEC yang strategik, berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta dilengkapi infrastruktur logistik yang komprehensif, menjadikan fasiliti ini sebuah hab pemprosesan dan pengeksportan penting bagi memperkukuh rantaian nilai durian negara.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi dan Pengarah Tropika Makmur Datuk Suffian Awang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan