PETALING JAYA, 28 Nov (Bernama) -- AdipoLABs Co. Ltd. dan Red & Blue Co. Ltd. dari Korea bersama anak syarikatnya di Malaysia, AdipoLABs Healthcare (M) Sdn Bhd hari ini merasmikan pejabat serantau baharu AdipoLABs bagi rantau Asia Pasifik.
Perasmian itu juga menandakan usaha peluasan strategik untuk memperkukuh kedudukan dalam penjagaan kesihatan tanpa invasif serta membangunkan ekosistem teknologi perubatan (MedTech) yang mantap di Malaysia dan ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif AdipoLABs Co. Ltd. Han Sung-ho berkata kehadiran syarikat itu dijangka memacu pemindahan ilmu, merancakkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyediakan latihan berpiawaian industri serta meningkatkan keupayaan penjagaan kesihatan negara.
“Dengan menggabungkan teknologi hipertermia kami bersama kepakaran tempatan dan kerapian akademik, kami akan mempercepat penggunaan penyelesaian termaju dan meningkatkan keberhasilan rawatan pesakit di seluruh dunia,” katanya dalam ucapan pada perasmian pejabat itu. .
Bagi meraikan pembukaan itu, syarikat berkenaan turut menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Cyberjaya (UoC) untuk memperkukuh inovasi penjagaan kesihatan, penyelidikan klinikal dan pembangunan bakat.
Komponen utama dalam MoU pertama ialah program latihan industri komprehensif bersama program fisioterapi di bawah Fakulti Kesihatan UoC, menawarkan penempatan selama enam bulan dan peluang pekerjaan bagi memberikan pendedahan dunia sebenar kepada pelajar.
Pelajar dari Fakulti Kesihatan akan memperoleh pengalaman praktikal menggunakan peranti Pain Bot keluaran AdipoLABs sekali gus meningkatkan kemahiran dalam mengesan kesakitan dan rawatan.
Sementara itu, pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan akan membantu operasi teknikal AdipoLABs, termasuk mengukuhkan perkhidmatan selepas jualan dan penyelenggaraan peranti.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, AdipoLABs turut melaksanakan inisiatif libat urus pelanggan strategik, dengan menempatkan pelatih di fasiliti pelanggan untuk menunjukkan keberkesanan peranti dan menyediakan sokongan di lokasi.
Sementara itu, Pengarah AdipoLABs Healthcare (M) Sdn Bhd Dr Isaac R. Joseph berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam pembangunan bakat, mewujudkan laluan untuk pekerjaan tetap dan memastikan penggunaan teknologi yang optimum.
Beliau berkata kerjasama itu juga merangkumi penyelidikan klinikal untuk menghasilkan dapatan berasaskan bukti yang akan diterbitkan dalam jurnal sekali gus memberikan pengesahan kepada teknologi itu secara saintifik.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan UoC untuk melahirkan bakat tempatan dan memacu inovasi penjagaan kesihatan Malaysia. Dengan teknologi seperti Pain Bot, kerjasama itu menawarkan pelajar UoC pengalaman praktikal yang amat berharga.
“Ia juga memperluas penyelidikan klinikal kami, meningkatkan penyelesaian pengurusan untuk pesakit di seluruh Malaysia dan ASEAN. Kami komited untuk memperkasakan barisan pemimpin penjagaan kesihatan masa hadapan,” katanya.
Dalam usaha untuk memajukan pendidikan fisioterapi pula, AdipoLABs Malaysia, Red & Blue Co. Ltd. dan UoC menandatangani MoU kedua yang menumpukan kepada pemindahan ilmu dan sumbangan peranti perubatan.
Di bawah perjanjian itu, AdipoLABs Malaysia akan menyumbangkan satu unit Pain Bot kepada UoC, membolehkan pelajar mengakses teknologi terkini mengesan kesakitan dan rawatan serta pengukuhan ilmu dalam pengurusan kesakitan muskuloskeletal.
Sebuah pertubuhan peranti perubatan berdaftar Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), AdipoLABs, menjadi tunjang kepada kerjasama berkenaan.
Naib Canselor UoC Dr David Whitford berkata pengiktirafan yang diterima syarikat itu mengukuhkan lagi aspirasi UoC untuk mempercepat penyelidikan berasaskan bukti dan penyelesaian penjagaan kesihatan berorientasikan industri.
“Kerjasama antara AdipoLABs dan UoC lebih daripada sekadar perkongsian, ia pelaburan langsung kepada generasi profesional penjagaan kesihatan masa hadapan.
“Dengan pengenalan teknologi pemulihan lanjutan, pelajar kami dapat mengakses peralatan standard antarabangsa dan inovasi dunia sebenar yang akan membentuk keyakinan, kompetensi dan masa depan kerjaya mereka,” katanya.
Bagi memperkukuh kerjasama itu, pencipta Pain Bot, Prof Dr Yoo Seung-mo dari Korea Selatan akan berkhidmat sebagai profesor adjung di UoC dan akan menyediakan latihan di kampus serta bimbingan berterusan secara jarak jauh.
Gabungan kepakaran UoC dan AdipoLABs menyaksikan kedua-dua pihak berada pada landasan kukuh untuk memacu agenda inovasi penjagaan kesihatan Malaysia dengan lebih yakin dan berkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial