AM > BERITA

RUA AlHaram AlMakki Co Meterai 6 MoU Untuk Pacu Pembangunan Gerbang Raja Salman

05/12/2025 09:04 AM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Syarikat RUA AlHaram AlMakki (RUA AlHaram AlMakki Co), pemaju induk di bawah Dana Pelaburan Awam (PIF) dan Rakan Asas Cityscape Global 2025, telah memeterai enam memorandum persefahaman (MoU) dengan Arab Saudi, Indonesia, Malaysia, Brunei serta Amerika Syarikat.

Kenyataan syarikat itu hari ini memaklumkan kesemua MoU ditandatangani semasa Cityscape Global berlangsung di Riyadh dari 17 hingga 20 Okt lepas bagi memacu pelaburan antarabangsa dan kerjasama global bagi projek sulungnya, Gerbang Raja Salman di Makkah.

Menurut RUA AlHaram AlMakki Co, perjanjian strategik itu mencerminkan komitmen syarikat berkenaan untuk menghimpunkan komuniti global Muslim dalam menyumbang kepada masa depan pembangunan Makkah dengan membuka ruang kepada pelaburan dan kerjasama daripada pelbagai pasaran.

Syarikat itu memaklumkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) telah menandatangani MoU Usaha Sama  dengan RUA AlHaram AlMakki Co bagi meneroka peluang kerjasama dalam projek Gerbang Raja Salman.

“Osool, firma pelaburan hartanah dan pengurusan aset di Arab Saudi, turut memeterai MoU bagi meneroka peluang pelaburan dalam Gerbang Raja Salman,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH) Indonesia pula memeterai dua MoU iaitu bagi menilai peluang pelaburan strategik dalam Gerbang Raja Salman, dan menilai kerjasama dalam komponen makanan bandar untuk pembangunan masa depan syarikat.

Menurut kenyataan itu, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) menandatangani MoU Pelaburan Am bagi menilai pelaburan dalam satu daripada lot tanah RUA AlHaram AlMakki di Makkah manakala Forbes Global Properties memeterai perjanjian bagi meneroka kerjasama strategik.

RUA AlHaram AlMakki Co merupakan pemaju hartanah pertama di dunia yang menyertai Forbes Global Properties sekali gus meningkatkan keterlihatan antarabangsa serta aksesnya kepada khalayak bernilai tinggi melalui rangkaian Forbes.

RUA AlHaram AlMakki Co memaklumkan MoU itu menandakan pencapaian utama dalam Pembangunan Gerbang Raja Salman iaitu pembangunan campur berskala besar dan terletak bersebelahan AlMasjid AlHaram yang dijangka menetapkan penanda aras baharu dalam kehidupan bandar, hospitaliti dan pemuliharaan budaya seiring matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi.

Kenyataan itu menyebut syarikat berkenaan terus mengalu-alukan kerjasama dengan rakan dan pelabur dari seluruh dunia ketika Gerbang Raja Salman memasuki fasa pembangunan berikutnya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan