AM > BERITA

Mangsa Banjir Di Perak Dan Selangor Terus Berkurangan Pagi Ini

08/12/2025 09:56 AM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Perak dan Selangor pagi ini menyaksikan trend penurunan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding malam tadi namun beberapa kawasan masih berada pada paras bahaya serta berjaga-jaga.

Di PERAK, seramai 613 mangsa daripada 174 keluarga masih berada di tujuh PPS di tiga daerah berbanding 680 orang daripada 195 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan semua mangsa yang ditempatkan di PPS sejak tiga minggu lepas belum dibenarkan pulang kerana rumah mereka masih digenangi air.

Daerah Hilir Perak merekodkan jumlah tertinggi iaitu 304 orang daripada 80 keluarga di empat PPS diikuti Manjung iaitu 163 orang daripada 47 keluarga di dua PPS manakala 146 mangsa daripada 47 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Kompleks Belia dan Sukan Bagan Datuk.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras bahaya iaitu 3.65 meter (m) berbanding paras normal dua meter manakala Sungai Slim di Slim River merekodkan paras berjaga-jaga pada 25.34 m berbanding paras normal 23.5 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan daerah Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim mengalami hujan pada sebelah pagi dan malam serta ribut pada sebelah petang manakala Kinta, Kampar serta Kuala Kangsar diramal menerima hujan pada sebelah petang dan malam.

Di SELANGOR, jumlah mangsa yang masih berada di PPS berkurangan kepada 38 orang daripada 12 keluarga berbanding 40 orang daripada 13 keluarga malam tadi.

Menurut laman sesawang InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua mangsa berlindung di satu PPS yang masih beroperasi di Kuala Selangor iaitu Sekolah Rendah Agama Pasangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan