AM > BERITA

Keperluan Pusat Data Tidak Sebabkan Kenaikan Tarif Air Domestik - Akmal Nasrullah

08/12/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan bahawa kadar tarif air domestik tidak akan dinaikkan semata-mata untuk menampung keperluan pusat data.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan menetapkan kos penambahbaikan infrastruktur grid elektrik dan air bagi kemasukan pusat data ditanggung oleh pihak pemaju bagi mengelakkan kenaikan tarif terhadap pengguna, khususnya pengguna domestik.

Beliau berkata kemasukan pusat data dan peningkatan unjuran permintaan elektrik di Semenanjung memerlukan penambahbaikan grid bagi tempoh Regulatory Period 4 (RP4) bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027, susulan permintaan komited melebihi 7,000 megawatt (MW) yang ditandatangani melalui Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) antara syarikat pusat data dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), termasuk projek yang dijangka siap sehingga Sept 2025.

“Dalam hal ini, pendekatan ‘user pays’ diperkenalkan dalam jadual tarif baharu di mana pengguna pusat data perlu menanggung kos tambahan pemantapan infrastruktur grid tersebut bagi mengelakkan kos ditanggung pengguna lain,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Rosni Sohar yang ingin mengetahui penilaian kerajaan mengenai kesan peningkatan pusat data terhadap penggunaan tenaga dan air negara serta jaminan tiada kenaikan tarif elektrik dan air yang akhirnya membebankan rakyat dan menjejaskan kesejahteraan ekonomi domestik.

Menurut Akmal Nasrullah, kerajaan turut mewujudkan kategori tarif khusus Voltan Ultra Tinggi (UHV) bagi pusat data yang disambungkan pada voltan tinggi dan voltan amat tinggi bagi memastikan bekalan elektrik stabil serta mampan di premis pusat data berkenaan.

Beliau memaklumkan penggunaan air bagi sistem penyejukan (cooling system) dan operasi pelayan (server) pusat data turut meningkat hasil pembangunan pusat data berskala besar, dan kerajaan sedang melaksanakan strategi pengurusan bekalan air mampan supaya keperluan sektor ini tidak menjejaskan pengguna domestik serta industri lain.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengeluarkan Garis Panduan Bekalan Air bagi Pembangunan Pusat Data berkuat kuasa 1 Sept 2025 yang memperincikan syarat teknikal perlu dipatuhi, meliputi proses dari perancangan hingga fasa operasi, termasuk pematuhan standard antaranya oleh Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO) dan Suruhanjaya Elektroteknik Antarabangsa (IEC).

“Operator juga digalakkan menggunakan teknologi hijau seperti sistem penyejukan efisien, penggunaan air boleh guna, pengumpulan air hujan dan kitar semula air  dalam pengoperasian pusat data bagi mengurangkan kebergantungan kepada air terawat serta menyokong agenda kelestarian negara,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Dr Jufitri Joha mengenai kebimbangan penduduk terhadap penggunaan air bawah tanah oleh projek pusat data di Port Dickson, Akmal Nasrullah berkata kawal selia pengambilan air tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri, dan sebarang bantahan perlu dirujuk kepada pihak berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan