KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) hari ini mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) Ashran Ghazi sebagai CEO baharu agensi itu berkuat kuasa hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, MRANTI memaklumkan Ashran yang pernah berkhidmat sebagai CEO Dattel Asia Group akan memimpin misi agensi itu untuk mempercepat pembangunan inovasi teknologi daripada idea kepada impak.
"Beliau akan menumpukan perhatian kepada tiga bidang utama iaitu menghubungkan inovator Malaysia dengan industri, pelabur, dan sektor awam dan memperkukuh MRANTI Park sebagai nukleus inovasi nasional terutamanya dalam teknologi autonomi dan sains hayat.
"Selain itu beliau akan memimpin MRANTI untuk memanfaatkan teknologi seperti sistem kesinambungan 5G dan kecerdasan buatan (AI), disokong oleh bidang tumpuan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), untuk merapatkan jurang pemacu sosioekonomi," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi MRANTI Prof Dr Rofina Yasmin Othman dalam kenyataan sama berkata rekod pencapaian Ashran dalam membangunkan ekosistem inovasi, bekerjasama dengan perniagaan berasaskan data dan memperkasakan usahawan, sejajar dengan mandat MRANTI untuk menterjemah idea kepada impak untuk negara.
"Kami yakin di bawah kepimpinan beliau, MRANTI akan terus memperkukuh laluan inovasi dan pengkomersialan negara, memperdalam kerjasama dengan industri, akademia dan kerajaan selain menyokong keutamaan nasional dalam bidang teknologi berimpak tinggi terutamanya Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Impak Ekonomi (RDICE)," katanya.
Rofina berkata pelantikan Ashran juga selaras dengan usaha gigih Malaysia untuk mengkomersialkan teknologi tempatan, memupuk usaha niaga teknologi mendalam dan memposisikan negara sebagai hab inovasi serantau yang berdaya saing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial