GEORGE TOWN, 8 Dis (Bernama) -- Beberapa langkah segera telah diambil bagi mempercepatkan pembukaan semula satu lorong di Jalan Batu Ferringhi berhampiran Moonlight Bay yang ditutup berikutan rekahan dan mendapan pada jalan di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, ia hasil perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang bagi memastikan pembukaan semula laluan dapat dilakukan demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
"Antara langkah segera tersebut ialah menempatkan penyelia tapak atau 'flagman' bagi memastikan pengurusan aliran trafik lebih teratur dan terkawal.
"Selain itu, kerja-kerja konkrit akan dilaksanakan dan dilanjutkan sehingga waktu malam bagi mempercepatkan kemajuan keseluruhan projek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pembukaan semula laluan disasarkan pada 20 Dis, namun ia tertakluk kepada penilaian kekuatan asas jalan dan kerja-kerja di tapak akan diteruskan selepas laluan dibuka.
Zairil berkata penambahan tenaga kerja turut dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan kelancaran kerja di tapak.
Difahamkan laluan itu sering mengalami kesesakan teruk, terutama pada waktu puncak ketika orang ramai pergi dan balik kerja.
Sebelum ini, media melaporkan penutupan satu lorong sehingga 31 Dis bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih dan kerja berkaitan oleh kontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya Daerah Timur Laut.
Zairil dilaporkan berkata lorong berkenaan ditutup sejak 21 Okt selepas kerja-kerja paku tanah (soil nailing) disiapkan oleh kontraktor.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati beberapa bahagian jalan masih memerlukan kerja-kerja pengukuhan tambahan sebelum ia dapat dibuka semula kepada pengguna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial