KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) – Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bersedia memperkukuh kerjasama meliputi koordinasi komunikasi, pengurusan krisis serta pelaksanaan program bersama.
Pengarah BKS SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, kepakaran serta pengalaman luas SPRM dalam pengendalian krisis dapat dimanfaatkan FELDA bagi mempertingkat imej serta keberkesanan komunikasi kedua-dua agensi.
Menurutnya, kecemerlangan BKS SPRM turut diiktiraf apabila meraih tiga anugerah pada The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025 iaitu Anugerah Berlian bagi kategori Best Crisis Management serta dua Anugerah Emas untuk kategori Best Government PR dan Best Communication Use of Social Media.
“Terbaharu, pada 2 Disember lalu, BKS SPRM turut menerima dua pengiktirafan Honorable Mention di PR Daily Awards 2025 masing-masing bagi kategori Use of AI dan Crisis Management,” katanya ketika melakukan kunjungan hormat ke JKS FELDA di Menara FELDA, Platinum Park di sini, hari ini.
Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu turut meninjau potensi kerjasama dalam penganjuran program-program anjuran BKS SPRM pada masa depan.
PKPj Hisyam berkata, SPRM turut menyediakan inisiatif pengecualian cukai kepada badan korporat yang melaksanakan program berunsur integriti dan antirasuah, yang boleh dimanfaatkan FELDA dalam pengukuhan tadbir urus.
Sementara itu, Pengarah JKS FELDA, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin menzahirkan penghargaan atas kesediaan BKS SPRM untuk bekerjasama serta berkongsi kepakaran dalam usaha memperkukuh imej FELDA.
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan pandangan dan sedia menawarkan kerjasama untuk manfaat kedua-dua pihak khususnya dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat.
Turut hadir Ketua Unit Integriti FELDA, TPj Mohd Anuar Ismail; Timbalan Pengarah BKS SPRM, Tuan Jules Rahman Ong; Timbalan Pengarah JKS FELDA, Norhasimah Mohd Nor; serta pegawai-pegawai kanan daripada BKS SPRM dan JKS FELDA.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial