KUCHING, 10 Dis (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah membentangkan sebanyak 14 syor penambahbaikan tatakelola kepada pengurusan Institusi Pengajian Islam Persendirian (IPIP) di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) berhubung pengagihan sumbangan zakat kepada pelajar IPIP di Sarawak.
Antara syor itu ialah memasukkan kriteria pelantikan individu sebagai Nazir di dalam Ordinan MIS 2001: Kaedah Kaedah Majlis Islam Sarawak (Pentadbiran Institusi Institusi Pendidikan Islam) 2024 dan mensyaratkan proses naziran hendaklah melibatkan sekurang-kurangnya tiga orang ahli
Nazir.
Syor lain mewujudkan garis panduan kewangan bagi pengurusan IPIP negeri Sarawak, mewajibkan pemantauan tahunan / audit ke atas akaun IPIP serta mengadakan kursus integriti dan rasuah secara berkala kepada semua kakitangan dan pelajar IPIP di Sarawak.
Cadangan ini dilaksanakan susulan siasatan tatakelola dijalankan terhadap agensi di bawah MIS pada 2020 berhubung penyelewengan duit sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) kepada IPIP yang berdaftar dengan MIS dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) iaitu Madrasah Raudatul Ulum Islamiah, Kota Samarahan yang mana wang zakat berjumlah RM138,100 telah disalahgunakan oleh Pengerusi dan Bendahari Madrasah terbabit untuk kepentingan mereka sendiri.
Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh yang membentangkan syor itu berkata, empat isu kelemahan dikenalpasti dalam pengurusan dan pemantauan yang melibatkan pengagihan sumbangan zakat oleh TBS kepada pelajar IPIP berdaftar dengan pihak JAIS.
Beliau berkata, kelemahan ini boleh membuka ruang dan peluang berlakunya amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Sementara itu, Setiausaha MIS, Mu’al Sauad yang menyambut baik cadangan penambahbaikan itu berkata, pihaknya bersetuju untuk mengambil tindakan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang ditemui.
“Kami amat berterima kasih kepada SPRM Sarawak kerana telah membantu MIS dalam usaha untuk menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewangan,” katanya pada sesi pembentangan yang diadakan di di Dewan Syura, Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini semalam.
Pada majlis itu, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani di antara Dato Hasbilah dan Setiausaha MIS.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Institusi Pendidikan Islam MIS, Professor Emeritus Datuk Dr. Mohamad Kadim Suadi; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola (Swasta) SPRM Sarawak, Mohd Ramzul Azim Mohammad dan wakil dari JAIS serta TBS.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial