AM > BERITA

Tiada Pertindihan Kuasa SPRM Dengan Penubuhan Ombudsman – Ketua Pesuruhjaya

10/12/2025 02:39 PM

 SHAH ALAM, 10 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku pertindihan kuasa dalam menyelesaikan isu integriti dan tadbir urus dengan penubuhan Ombudsman Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bidang tugas utama agensi itu adalah dalam kerja-kerja penyiasatan dan operasi, selain melaksanakan program pendidikan serta advokasi kepada masyarakat berkaitan integriti dan tatakelola.

Beliau berkata SPRM juga akan terlibat dalam kerja-kerja pencegahan serta menasihati jabatan-jabatan kerajaan yang menghadapi isu berkaitan rasuah dan tatakelola bagi sebarang penambahbaikan.

“Ombudsman Malaysia ini, selain SPRM, turut melibatkan jabatan dan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan perincian mengenai bidang tugas akan dimaklumkan kemudian.

“Kerajaan telah menyatakan bahawa tidak akan berlaku pertindihan kuasa, dan saya memberi jaminan perkara yang sama tidak akan berlaku dalam kerja-kerja yang akan dilaksanakan oleh SPRM kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk “Integriti Teras Kepimpinan, Amanah Asas Kejayaan” pada majlis SPRM-UiTM Inspirasi 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Azam berkata SPRM akan memberi kerjasama penuh dalam penyediaan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun hadapan.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata kerajaan akan menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat untuk mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat lebih menyeluruh merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat, dan kebebasan maklumat.

Menurut Anwar, persetujuan penting itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikannya, sekali gus menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan