KOTA SAMARAHAN, 13 Dis (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Samarahan bakal menjadi perintis kepada KEMAS Sarawak dalam menyediakan pendidikan awal khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas Spektrum Autisme (ASD), terutama di kawasan luar bandar seawal usia lima dan enam tahun bermula pada Januari tahun depan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata sebuah Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS di Kampung Tanjung Bundong, di sini akan beroperasi bagi memastikan tiada kanak-kanak golongan itu tercicir daripada mendapat peluang pendidikan awal.
“Kita memperkenalkan kelas Tunas autisme ini supaya kanak-kanak berkeperluan khas dapat dididik dari peringkat awal, kerana pendidikan awal sangat penting untuk membantu mereka berdikari dan menyesuaikan diri dengan persekitaran.
“Segala usaha ini membuktikan bahawa KEMAS sentiasa ke hadapan dalam membina generasi yang berakhlak, berilmu dan berkeyakinan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Kanak-Kanak Tabika dan Taska Kemas Parlimen Kota Samarahan di sini hari ini.
Rubiah berkata Tabika Tunas berkenaan dilaksanakan untuk memudahkan sistem pengajaran memandangkan terdapat peningkatan ketara kemasukan kanak-kanak terbabit dalam institusi KEMAS.
“Ini satu lagi pencetus perubahan kita dengan memperkenalkan kelas tersebut menerusi penyediaan tenaga pengajar yang lebih terlatih dan berpengalaman dengan anak-anak khas ini,” katanya.
Beliau berkata semua guru menjalani latihan antara tiga hingga enam bulan merangkumi teori dan praktikal di Akademi Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS di Kuantan, Pahang serta penempatan latihan di beberapa sekolah pendidikan khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Sementara itu, Rubiah berkata satu lagi program tahfiz akan diperkenalkan pada tahun hadapan pada peringkat taska KEMAS, iaitu program Thalatha Tis’a yang bertujuan melahirkan generasi celik al-Quran seawal usia dua tahun.
Katanya, dijangkakan sebanyak 1,000 kanak-kanak akan menyertai program itu di 100 taska KEMAS di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial