KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri R. Ramanan sebagai Menteri Sumber Manusia dan Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan sebagai Timbalan Menteri, susulan pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata persekutuan itu menantikan kerjasama rapat dengan kepimpinan baharu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memajukan dasar buruh yang praktikal dan seimbang, selaras dengan perubahan pesat ekonomi dan teknologi.
“MEF menantikan kerjasama erat dengan kepimpinan baharu KESUMA untuk memacu keutamaan utama pasaran buruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata KESUMA memainkan peranan penting dalam memastikan dasar buruh kekal adaptif, praktikal dan responsif terhadap realiti yang dihadapi majikan serta pekerja.
Antara keutamaan utama MEF ialah peningkatan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja, pembangunan Rangka Kerja Tenaga Kerja AI Nasional, dasar tenaga kerja asing yang lebih boleh dijangka termasuk rasionalisasi levi, penetapan gaji berasaskan produktiviti serta pemerkasaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).
Syed Hussain berkata Rangka Kerja Tenaga Kerja AI Nasional yang dicadangkan perlu dibangunkan melalui rundingan rapat dengan industri dan rakan sosial.
“Rangka kerja ini seharusnya memberi tumpuan kepada reka bentuk semula pekerjaan, pemetaan kemahiran, laluan kemahiran semula, penggunaan AI secara beretika serta sokongan peralihan kepada pekerja yang terkesan. Garis panduan dasar yang jelas akan membantu perniagaan memanfaatkan AI bagi meningkatkan produktiviti, di samping memastikan kesiapsiagaan tenaga kerja dan kelestarian pekerjaan,” katanya.
MEF turut menggesa pemerkasaan pembangunan kemahiran yang dipacu industri melalui kerjasama lebih erat antara KESUMA, penyedia latihan dan majikan, selain penyelarasan program latihan yang lebih baik dengan keperluan pasaran.
Mengenai tenaga kerja asing, Syed Hussain menyeru rangka kerja dasar yang lebih telus, boleh dijangka dan cekap, termasuk semakan semula levi pekerja asing.
“Struktur levi perlu bersifat adil, sensitif kepada sektor serta selari dengan realiti pasaran buruh, di samping mengelakkan tekanan kos berlebihan yang boleh menjejaskan kelestarian dan daya saing perniagaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa dasar gaji perlu terus berasaskan bukti dan dikaitkan dengan produktiviti, dengan mengambil kira keadaan ekonomi, keupayaan perniagaan serta perbezaan antara sektor.
MEF turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat dan sihat, serta menggalakkan pengenalan insentif OSH bagi membantu majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Persekutuan itu juga merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan bekas Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
“MEF mengiktiraf usaha mereka dalam memperkenalkan pembaharuan institusi yang positif, memperkukuh tadbir urus pasaran buruh serta memupuk penglibatan tripartit yang konstruktif,” katanya.
MEF berkata pihaknya menantikan kerjasama berterusan dengan menteri dan timbalan menteri baharu bagi memajukan dasar buruh berpandangan jauh yang menyokong produktiviti, daya saing, pekerjaan bermaruah serta pertumbuhan ekonomi mampan di Malaysia.
Steven Sim kini bertukar portfolio sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Abdul Rahman Mohamad dilantik sebagai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial