AM > BERITA

KRT Kampung Endah Perluas Projek Ternakan, Perkukuh Ekonomi Komuniti

22/12/2025 05:46 PM

Oleh Mohd Azrin Muhammad

KUALA LANGAT, 22 Dis (Bernama) -- Projek Ternakan Kambing Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Endah di sini, terus berkembang dengan perancangan lebih besar dan tersusun bagi meningkatkan kapasiti ternakan, mempelbagaikan sumber pendapatan serta memperkukuh penglibatan komuniti setempat.

Pengerusi KRT Kampung Endah Kamal Ali berkata projek berkenaan bukan sahaja bertujuan menjana pendapatan mampan, sebaliknya turut memperkukuh ekonomi setempat dan mengeratkan hubungan kejiranan melalui penglibatan langsung penduduk dalam pengurusan ternakan.

Beliau berkata projek itu menerima peruntukan RM50,000 daripada Kementerian Perpaduan Negara bagi pembinaan kandang serta kemudahan sokongan termasuk stor dan peralatan penyelenggaraan sekali gus membolehkan perancangan jangka panjang dilaksanakan dengan lebih sistematik.

“Dengan dana ini, jawatankuasa KRT dapat merancang peluasan projek secara tersusun bagi memenuhi keperluan komuniti serta permintaan pasaran,” katanya kepada Bernama.

Menurut Kamal, projek yang telah beroperasi lebih setahun itu kini menempatkan 30 kambing biri-biri dengan harga jualan antara RM500 hingga RM2,000 seekor, bergantung kepada saiz dan umur, selain memasarkan produk nilai tambah seperti kambing golek dan kambing perap yang mendapat sambutan menggalakkan.

Sementara itu, pengelola projek Muhammad Maryus Mardi, 55, berkata pihaknya sedang merangka konsep baharu melibatkan pembangunan Chalet Biri-Biri, iaitu 30 unit kandang kecil di kawasan ladang kelapa sawit seluas lima ekar bagi membolehkan orang ramai membeli kambing untuk diuruskan oleh ahli KRT.

Beliau berkata setiap unit berharga RM2,200 dan mampu menampung lima ekor kambing, selain menawarkan pulangan jangka panjang apabila anak kambing yang lahir menjadi milik pembeli.

Projek itu turut dirancang diperluaskan kepada ternakan rusa, kerbau dan kuda, selari dengan kejayaan projek sedia ada serta bimbingan berterusan Kementerian Perpaduan Negara .

Muhammad Maryus berkata kertas kerja bagi memajukan projek lanjutan itu telah dihantar dan kini dalam proses menunggu kelulusan dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan geran bernilai RM200,000, bagi membolehkan rancangan dengan kerjasama KRT Kampung Endah dan Koperasi Endah Berhad itu dapat dilaksanakan tahun hadapan.

Dalam perkembangan sama, ekonomi komuniti KRT Kampung Endah turut diperkasakan melalui operasi RT Corner Kampung Endah yang menjual produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan seperti bunga, kerepek dan minyak bakawali.

Pengurusnya Norulhuda Md Sairi berkata premis yang beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad itu, berjaya menjana pendapatan hingga RM2,000 seminggu, dengan bunga Bromeliad dan kerepek menjadi penyumbang utama hasil jualan.

“Produk utama di RT Corner ialah Bromeliad serta kerepek, dan bunga menjadi penyumbang pendapatan tertinggi kerana mudah dijaga dan mendapat permintaan berterusan daripada pelanggan tempatan dan luar kawasan.

“Semua produk dihasilkan oleh wanita tempatan sekali gus membuka peluang serta membantu kami menjana ekonomi komuniti sambil mengekalkan semangat kejiranan yang aktif, selain memupuk keterlibatan penduduk dalam aktiviti setempat," katanya.

Kampung Endah merupakan penempatan pertama di daerah Kuala Langat yang menerima pengiktirafan Rukun Tetangga Penggerak Komuniti Progresif di bawah Kementerian Perpaduan sejak 2024, serta tersenarai dalam Program Kampung Angkat MADANI 2025 sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pembangunan berasaskan komuniti yang mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan