KOTA KINABALU, 21 Jan (Bernama) -- Kelewatan pelaksanaan projek penyediaan perkhidmatan Internet terutama melalui teknologi gentian optik Point-of-Presence (PoP) di sekolah-sekolah di Sabah menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta usaha pendigitalan pendidikan di 736 sekolah di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk James Ratib berkata kementeriannya menerima banyak keluhan dan aduan daripada pihak sekolah serta ibu bapa berkaitan isu membabitkan kontraktor pelaksana projek tersebut.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah tidak akan teragak-agak untuk menamatkan lantikan syarikat berkenaan sekiranya terdapat bukti sahih mengenai kelewatan atau kegagalan pelaksanaan projek itu demi kepentingan murid dan kelangsungan sistem pendidikan negeri.
“Antara isu utama yang dikenal pasti termasuk perkhidmatan Internet di beberapa sekolah tidak memuaskan dengan capaian jalur lebar tidak mencapai tahap dijanjikan, serta respons lambat dalam menangani aduan.
“Malah, terdapat PoP yang belum sedia untuk digunakan walaupun telah disenaraikan sebagai siap, selain kelewatan pemasangan infrastruktur gentian optik walaupun lokasi telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
James berkata situasi itu menyebabkan sebahagian sekolah masih terpaksa bergantung kepada menara 1BestariNet yang mengakibatkan kualiti capaian Internet kekal rendah dan tidak konsisten.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan melakukan penilaian semula prestasi pihak kontraktor secara menyeluruh merangkumi aspek pematuhan garis masa, kualiti perkhidmatan serta kecekapan pengurusan aduan.
“Penilaian ini bertujuan memastikan tiada kelewatan berpanjangan yang terus menjejaskan proses PdP khususnya di sekolah luar bandar dan pedalaman.
“Kementerian memandang serius perkara ini kerana akses internet yang stabil dan berkualiti merupakan keperluan asas dalam sistem pendidikan masa kini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial