AM > BERITA

Johor Seru Bakat Tempatan Di Luar Negara Sumbang Kepada Pembangunan Ekonomi JS-SEZ

09/02/2026 08:30 PM

JOHOR BAHRU, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor menyeru bakat tempatan di luar negara untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata peluang itu wajar dipertimbangkan memandangkan JS-SEZ bakal mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Selain itu, beliau berkata zon ekonomi tersebut turut menyediakan insentif khas cukai pendapatan pada kadar 15 peratus kepada mereka yang layak dan bekerja dalam 11 sektor utama termasuk pembinaan dan ekonomi digital.

“Kita juga sedang mewujudkan satu ekosistem pelaburan yang (dijangka) dapat menarik diaspora atau anak bangsa Johor dan rakyat Malaysia di luar sana untuk balik menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Johor Dialogue 2026 di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi ucapannya pada program tersebut menyeru diaspora Johor yang bekerja di seluruh dunia untuk pulang membina dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri itu.

“Ketika Johor terus membangun, kita menyeru diaspora Johor untuk pulang ke tanah air dan menjadi sebahagian daripada masa depan yang dicorakkan bukan sahaja oleh kemajuan ekonomi tetapi juga  semangat dan bakat kita semua.

“Ringkasnya, dalam dunia tanpa sempadan yang sentiasa berubah-ubah, masa depan dan kekayaan sebenar kita bukan sahaja terletak pada sumber, tetapi juga pada kekuatan, daya tahan dan semangat inovatif Bangsa Johor,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz turut menekankan kepentingan tahap pengetahuan tinggi dalam kalangan penjawat awam Johor dalam menangani cabaran ketidakpastian persekitaran global yang semakin kompleks dan dinamik.

Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan negeri melaksanakan inisiatif menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, termasuk Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat dan Universiti Oxford di United Kingdom, bagi menyediakan peluang kepada penjawat awam Johor mengikuti program profesional.

“Kepada mereka yang menyertai program berprestij ini, terutamanya penjawat awam Johor, saya menggesa anda semua untuk merebut sepenuhnya peluang ini. Berkembang menjadi pemimpin yang tangkas dan berpandangan jauh yang diperlukan oleh Johor dan dunia sekarang,” katanya.

Johor Dialogue 2026, yang julung kali dianjurkan kerajaan negeri, menghimpunkan pemimpin, agensi serta pemain industri bagi berkongsi pandangan, merangka hala tuju dan memperkukuh kerjasama demi memacu kemajuan ekonomi negeri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan