AM > BERITA

Bantuan Pelajar Palestin Di Malaysia Tidak Guna Dana Kerajaan

12/02/2026 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa bantuan kewangan yang disalurkan kepada pelajar Palestin di negara ini tidak melibatkan peruntukan dana kerajaan, sebaliknya hasil sumbangan sektor korporat dan orang ramai.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata bantuan itu disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah kelolaan Kementerian Luar Negeri.

“Bantuan ini diwujudkan berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Nov 2023, dan ingin saya tegaskan bahawa bantuan ini tidak melibatkan dana kerajaan.

“Sebaliknya, ia disalurkan kepada penerima daripada sumbangan masyarakat awam dan sektor korporat, dengan pengurusan dana dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi memastikan penyaluran dan kutipan dijalankan secara telus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai rasionalisasi kerajaan membantu pelajar asing ketika masih terdapat pelajar tempatan B40 yang memerlukan bantuan.

Adam Adli berkata antara penyumbang dana berkenaan termasuk Yayasan Raja Zarith Sofiah, Majlis Agama Islam Johor, Yayasan Al-Bukhary, Malaysian Relief Agency serta beberapa yayasan di bawah Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Dana itu ialah inisiatif khas secara sekali beri yang dikutip menerusi tabung yang diwujudkan KLN.

Hingga 31 Dis 2024, sebanyak 375 pelajar Palestin yang aktif di IPT Malaysia telah menerima bantuan melibatkan jumlah keseluruhan RM4.3 juta, merangkumi bantuan yuran pengajian serta kos sara hidup.

Beliau berkata penyaluran itu adalah berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPT, iaitu Garis Bantuan dan Terma Penyaluran Bantuan Sara Hidup kepada pelajar warganegara Palestin di universiti awam.

Dana berkenaan bertujuan meringankan beban pelajar yang terkesan secara langsung akibat konflik, dan bukannya tajaan penuh kerajaan kepada semua pelajar Palestin di universiti awam.

“Kerajaan akan memastikan segala bentuk bantuan yang diluluskan disalurkan secara telus, berakauntabiliti, dan berlandaskan prinsip kemanusiaan selaras dengan komitmen Malaysia terhadap keadilan sejagat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan