AM > BERITA

GM Klang Perkasa Potensi Usahawan OkU Menerusi Bazar Ramadan

02/03/2026 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- GM Klang terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan komuniti dengan mengangkat potensi usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penganjuran Bazar Ramadan dan Rioooh Raya Bazar sempena musim perayaan tahun ini.

Pengurus Kanan Komunikasi GM Klang Norsuhaida Othman berkata inisiatif itu bukan sekadar menyediakan platform jualan, malah mengangkat potensi usahawan OKU supaya mereka dapat bersaing dalam arus perniagaan semasa.

“Kami percaya setiap usahawan mempunyai potensi besar untuk berjaya apabila diberikan ruang, peluang dan sokongan yang tepat. 

“Melalui Bazar Ramadan dan Rioooh Raya Bazar ini, kami bukan sekadar menyediakan platform jualan, tetapi mengangkat potensi usahawan OKU agar mereka dapat berdiri seiring dan bersaing dalam arus perniagaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norsuhaida berkata konsep yang diketengahkan tahun ini turut memberikan pengalaman Ramadan yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.

“Pengunjung boleh mendapatkan juadah berbuka di bazar Ramadan, kemudian bentang tikar dan berbuka puasa bersama keluarga di Dataran GM Klang sebelum meneruskan membeli-belah dengan lebih selesa kerana kami kini beroperasi hingga 10 malam.”

“Inilah keunikan GM Klang sebagai destinasi sehenti sepanjang Ramadan dan Syawal,” tambahnya.

Inisiatif itu juga selaras dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam menyediakan platform perniagaan strategik bagi membantu usahawan OKU mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing dalam ekosistem perniagaan tempatan.

Sepanjang Ramadan, Bazar Ramadan GM Klang beroperasi setiap hari dari 3 petang hingga 8 malam dengan penyertaan hampir 35 usahawan tempatan termasuk 15 usahawan OKU, yang menawarkan pelbagai juadah tradisional dan hidangan berbuka puasa.

Sementara itu, Rioooh Raya Bazar yang diadakan di sekitar premis berkenaan menawarkan pelbagai keperluan Aidilfitri termasuk pakaian raya, aksesori, kerepek dan kuih-muih serta dekorasi rumah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan