AM > BERITA

Ketengah Sedia Peruntukan RM1 Juta Laksana Program Ikatan Kasih MADANI

04/03/2026 09:48 AM

DUNGUN, 4 Mac (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyediakan peruntukan RM1 juta bagi melaksanakan Program Ikatan Kasih MADANI Wilayah Ketengah pada Ramadan tahun ini.

Pengerusi Ketengah Datuk Rozi Mamat berkata peruntukan itu diagihkan kepada 3,100 individu, terutama golongan asnaf, anak yatim piatu, pesakit terlantar dan orang kurang upaya. 

Beliau berkata setiap seorang golongan itu akan menerima RM200 melibatkan jumlah keseluruhan RM640,000.

Selain itu, Rozi berkata lapan madrasah dan tahfiz pula menerima sumbangan Ihsanul Qura’ dengan kadar RM2,000 setiap institusi yang berjumlah keseluruhan RM16,000 serta sumbangan Ihya’ Ramadan kepada 70 surau di wilayah Ketengah dengan kadar RM500 setiap surau dan jumlah keseluruhan RM35,000.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima tetapi ia juga mencerminkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang menjadi tunjang Malaysia MADANI,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Program Ikatan Kasih MADANI Wilayah Ketengah di Al Muktafi Billah Shah di sini.

Selain itu, Rozi berkata sebanyak 754 anak yatim turut menerima kelengkapan baju raya bernilai RM200 dan duit raya RM100 seorang dikendalikan Ketengah Holding Sdn Bhd dengan jumlah keseluruhan RM226,200.

“Ia membuktikan pembangunan di bawah Ketengah bukan sekadar fizikal dan ekonomi tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan sosial dan pembangunan insan,” katanya.

Rozi berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Ketengah juga sentiasa komited memainkan peranan dalam memperkasa masyarakat luar bandar di wilayah itu.

Beliau berkata pada tahun ini Ketengah telah diluluskan peruntukan RM48.355 juta termasuk enam projek baharu berjumlah RM5.5 juta untuk dilaksanakan, iaitu menaik taraf dan membaik pulih premis Ketengah.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan Halimah Mohammad, 66, dari Taman Mulia, Bandar Al Muktafi Billah Shah berkata sumbangan itu sangat bermakna buat dia dan suami, Mohd Syaban, 87, yang mempunyai pelbagai penyakit kronik.

“Kami hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan manakala enam anak kami pula telah berkeluarga dan mereka juga tidak mampu. 

“Bila ada sumbangan sebegini, boleh kami gunakan untuk membeli makanan dan tampung perbelanjaan bagi kos pergi dan balik suami ke hospital selain membuat persiapan berbuka puasa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan