JOHOR BAHRU, 26 Mac (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh reputasi akademiknya pada peringkat global apabila dua subjeknya tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia dan empat lagi pada kedudukan pertama di Malaysia dalam penarafan terkini QS World University Rankings by Subject 2026 yang diterbitkan Quacquarelli Symonds (QS).
UTM dalam kenyataan memaklumkan Petroleum Engineering kini berada pada kedudukan ke-36 berbanding 46 pada tahun sebelumnya manakala Architecture/Built Environment pada kedudukan ke-50 daripada 51-100.
Secara keseluruhan, pencapaian universiti memenunjukkan peningkatan amat menyakinkan daripada tahun sebelumnya dengan Engineering and Technology daripada 102 kepada 86, Natural Sciences (227 kepada 197), Social Sciences and Management (249 kepada 209) dan Arts and Humanities (316 kepada 257).
“Pencapaian ini sekali gus mengekalkan kedudukan UTM sebagai antara institusi terkemuka dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi,” menurut kenyataan itu.
UTM memaklumkan empat subjek yang berada pada kedudukan pertama peringkat nasional ialah Architecture/ Built Environment, Mineral and Mining Engineering, Civil and Structural Engineering, serta Chemical Engineering.
UTM juga menduduki tempat kedua di Malaysia bagi Electrical and Electronic Engineering serta Engineering and Technology manakala Petroleum Engineering pada kedudukan ketiga.
Selain itu, beberapa bidang lain turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila berada dalam kelompok 100 teratas dunia antaranya Electrical and Electronic Engineering (77), Chemical Engineering (83), Civil and Structural Engineering (51-100) dan Mineral & Mining Engineering (51-100).
Beberapa bidang pula memperbaik kedudukan dengan berada dalam 200 teratas dunia, iaitu Computer Science and Information Systems (130), Mechanical, Aeronautical and Manufacturing Engineering (117), Chemistry (184), Environmental Sciences (115) dan Material Science (113).
Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi serta kerjasama strategik dengan rakan industri dan institusi antarabangsa.
Beliau berkata kejayaan itu hasil usaha kolektif warga universiti termasuk pensyarah, penyelidik, penuntut, alumni serta rakan kolaborasi global yang sentiasa komited mempertingkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.
Pencapaian itu juga selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai universiti teknologi bertaraf global yang memacu inovasi, penyelidikan dan pembangunan bakat bagi menyokong pembangunan negara serta kesejahteraan masyarakat.
“UTM komited untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan selaras dengan visi menjadi universiti teknologi global yang unggul dalam menghasilkan penyelesaian inovatif dan lestari untuk cabaran masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial