DUNIA > BERITA

LE PEN DIBICARAKAN ATAS PENYELEWENGAN DANA EU

30/09/2024 05:42 PM

PARIS, 30 Sept (Bernama-dpa) -- Marine Le Pen, bersama beberapa pemimpin nasionalis berhaluan kanan Perancis lain akan dihadapkan ke mahkamah jenayah di Paris pada Isnin, atas tuduhan menerima dana untuk kakitangan rekaan di Parlimen Eropah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Selain Le Pen, bapanya, Jean-Marie Le Pen yang juga pengasas parti National Rally turut didakwa bersama 28 individu lain atas tuduhan menyeleweng dana awam.

Marine Le Pen menafikan segala tuduhan yang dikemukakan, yang meliputi tempoh dari 2004 hingga 2016.

Tuduhan membabitkan parti National Rally menerima dana daripada Parlimen Eropah bagi pembantu parlimen yang sebenarnya bekerja untuk parti itu.

Jumlah dana yang terlibat dianggarkan hampir €7 juta (US$7.8 juta).

Le Pen membayar balik €330,000 kepada Parlimen Eropah setahun lalu, namun partinya menegaskan bahawa pembayaran terbabit bukanlah pengakuan terhadap sebarang salah laku.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan denda dan dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Selain itu, tertuduh juga berdepan kemungkinan diisytiharkan hilang kelayakan memegang jawatan awam selama lima tahun, yang boleh memberi kesan terhadap pencalonan Le Pen dalam pilihan raya presiden 2027.

--BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan