DUNIA > BERITA

RAKYAT IRAN RAIKAN SERANGAN PELURU BERPANDU SEBAGAI TINDAKAN BALAS TERHADAP JENAYAH ISRAEL

02/10/2024 04:42 PM

TEHRAN, 2 Okt (Bernama-IRNA) -- Orang ramai di bandar dan pekan di seluruh Iran turun ke jalan raya dan dataran pada Selasa malam bagi meraikan dan menyatakan solidariti mereka dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) kerana berjaya menyasarkan pangkalan tentera Zionis dengan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap tindakan jenayah rejim itu di Iran dan tempat lain di rantau ini, lapor IRNA.

Orang ramai di Tehran membanjiri jalan raya di pelbagai bahagian ibu kota, membawa bendera Iran, Lubnan dan Palestin serta menyatakan taat setia dan komitmen mereka kepada para syuhada pergerakan penentangan.

Mereka turut memegang gambar pemimpin dan komander tertinggi pergerakan penentangan, termasuk Sayyed Hasan Nasrallah dan Brigedier Jeneral Qassem Suleimani, yang dibunuh oleh rejim Zionis dan Amerika.

Sekumpulan rakyat berkumpul di Dataran Palestin untuk menunjukkan sokongan padu mereka terhadap tindak balas tegas IRGC terhadap rejim Zionis.

Mereka turut menyatakan rasa jijik mereka terhadap rejim Zionis dan penyokongnya dengan melaungkan slogan "Death to America" ​​dan "Death to Israel".

Rakyat di Ardabil juga turun ke jalan raya untuk menyokong serangan itu dan menyatakan kegembiraan mereka dengan menyertai perhimpunan berkenaan.

Mereka sangat gembira selepas mendengar berita bahawa walaupun pangkalan Israel dilindungi oleh sistem pertahanan paling canggih dan besar, 90 peratus daripada peluru berpandu Iran berjaya mengenai sasaran dan rejim Zionis takut dengan perisikan dan penguasaan operasi Republik Islam.

Kota suci Qom turut menjadi lokasi perayaan dengan penduduk yang bersyukur melaungkan takbir dari masjid dan bumbung rumah mereka. 

Di beberapa jalan di Qom, konvoi kereta diadakan dengan orang ramai membawa bendera Iran, Palestin, Lubnan dan simbol penentangan Islam.

Selain itu, penduduk di bandar dan wilayah lain di Iran termasuk Kermanshah, Kurdistan, Gilan, Mazandaran, Kerman, Semnan, Mashhad, Shiraz, Yasouj, Qazvin, Tabriz, Zanjan, Abadan, Arak, dan Gulistan turut meraikan peristiwa itu dan mengadakan perhimpunan.

--BERNAMA-IRNA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan