DUNIA > BERITA

PRESIDEN KOREA SELATAN MULAKAN LAWATAN KE TIGA NEGARA ASIA TENGGARA MINGGU DEPAN

03/10/2024 10:33 PM

SEOUL, 3 Okt. (Bernama-Yonhap) -- Presiden Yoon Suk Yeol dijadual melawat Filipina, Singapura dan Laos minggu depan bagi menghadiri sidang kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta mengadakan perbincangan dua hala, lapor Agensi Berita Yonhap.

Timbalan Penasihat Keselamatan Negara, Kim Tae-hyo dalam satu sesi taklimat memaklumkan bahawa Yoon akan memulakan lawatan selama enam hari pada Ahad, merangkumi pertemuan dua hala di Filipina dan Singapura serta penyertaan dalam mesyuarat berkaitan ASEAN di Laos.

Semasa lawatannya ke Filipina bermula Ahad hingga Isnin, Yoon akan bertemu Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. untuk membincangkan cara meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Yoon juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Selasa dan menyampaikan ucapan mengenai visi penyatuan Seoul sebelum berangkat ke Laos pada Rabu.

Pada Khamis, beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga yang melibatkan Korea Selatan, China dan Jepun. Selain itu, beliau juga dijadual mengadakan lapan pertemuan dua hala, termasuk dengan Laos, Vietnam dan Thailand.

Semasa sidang kemuncak tahun ini, Korea Selatan akan membentuk perkongsian strategik komprehensif dengan ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dengan blok serantau yang terdiri daripada 10 negara itu.

Rundingan juga sedang dijalankan untuk mengatur sidang kemuncak pertama Yoon dengan Perdana Menteri baharu Jepun, Shigeru Ishiba di Laos sempena sidang kemuncak ASEAN, kata seorang pegawai presiden.

Pada Jumaat, Yoon akan menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur sebelum pulang ke tanah airnya.

-- BERNAMA-YONHAP

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan