DUNIA > BERITA

ANGKA KORBAN GUNUNG LEWOTOBI LAKI-LAKI MENINGKAT KEPADA 10 ORANG

04/11/2024 05:31 PM

JAKARTA, 4 Nov (Bernama) -- Angka kematian akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-laki di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur telah meningkat kepada 10 orang berbanding enam orang sebelum ini, setakat 10.20 pagi waktu Indonesia barat.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia Abdul Muhari berkata sembilan mangsa berjaya dikeluarkan manakala seorang individu masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

“Mangsa ditemukan dalam radius empat kilometer dari gunung berapi itu yang melebihi jarak selamat tiga kilometer yang disyorkan sebelum ini di bawah Tahap Amaran III,” katanya semasa taklimat pada Isnin.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) telah meningkatkan status aktiviti gunung berapi itu dari tahap III ke IV, atau “awas”.

“Peningkatan aktiviti gunung berapi malam tadi yang dirakam dalam laporan visual dan video amatur yang dihantar kepada BNPB, menunjukkan batuan pijar mewujudkan lubang besar dan menyebabkan kebakaran di beberapa kawasan, mendorong pengembangan jarak selamat,” jelas Abdul Muhari.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu lapangan terbang di Maumere kini ditutup berdasarkan maklumat awal dan BNPB akan berkoordinasi dengan Kementerian Pengangkutan untuk maklumat terkini mengenai penutupan itu.

Letusan pada Ahad berlaku kira-kira 11.57 malam waktu Indonesia tengah dan sehingga pagi ini, letusan berintensiti rendah masih berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan