TIANJIN, 3 Dis (Bernama-Xinhua) -- Pengeluar pesawat Eropah, Airbus membuka pusat promosi keselamatan pertamanya di China pada Selasa di fasiliti mereka di bandar pelabuhan utara Tianjin, sebagai sebahagian usaha global syarikat untuk mengukuhkan budaya keselamatan dalam organisasi selain meningkatkan kesedaran keselamatan seluruh industri, lapor Xinhua.
Airbus kini mempunyai empat pusat promosi keselamatan di seluruh dunia. Tiga lagi terletak di Toulouse, Perancis; Bangalore, India dan Hamburg, Jerman.
"Pusat di Tianjin bertujuan untuk mempromosikan amalan keselamatan Airbus dalam kalangan rakan industri penerbangan China kami dan semua pekerja Airbus China," kata George Xu, Naib Presiden Eksekutif Airbus dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus China.
Pekerja Airbus dan pengunjung luar, seperti syarikat penerbangan dan pembekal, akan mempelajari cara Airbus mengintegrasikan keselamatan dalam reka bentuk dan pembuatan pesawat serta bagaimana sistem pengurusan keselamatannya bekerjasama dengan rakan kongsi untuk meningkatkan keselamatan di seluruh ekosistem, menurut pengeluar pesawat itu.
Dirasmikan pada 2008, A320 Family Final Assembly Line Asia (FALA) di Tianjin ialah barisan pengeluaran Airbus pertama yang diwujudkan di luar Eropah.
Projek pengembangan Airbus Tianjin, yang dimulakan pada September 2023, dijangka memberi sumbangan kepada pelan pembangunan keseluruhan A320 syarikat itu, yang disokong oleh rangkaian pengeluaran global dengan 10 barisan pemasangan akhir.
Rangkaian pengeluaran ini akan merangkumi dua barisan pemasangan akhir di Tianjin (satu sedang dalam pembinaan), dua di Toulouse, Perancis; dua di Mobile, Amerika Syarikat (satu sedang dalam pembinaan) dan empat di Hamburg, Jerman.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial