DUNIA > BERITA

PRESIDEN PALESTIN UTUS SURAT KEPADA PRABOWO MENGENAI HUBUNGAN DUA HALA DAN SITUASI SEMASA 

19/03/2025 12:20 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Mac (Bernama) -- Presiden Palestin Mahmoud Abbas menghantar sepucuk surat kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang menekankan hubungan dua hala antara kedua-dua negara serta perkembangan terkini di Palestin. 

Surat itu disampaikan oleh Utusan Khas Abbas, Mahmoud Al-Habbash dalam satu pertemuan di Istana Merdeka pada Selasa. 

Menurut kenyataan Sekretariat Presiden Indonesia, surat itu menegaskan hubungan erat antara Indonesia dan Palestin serta menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan semasa di wilayah Palestin. 

“Kami mengutus surat yang menyentuh hubungan antara Indonesia dan Palestin serta isu Palestin secara lebih luas, khususnya keadaan yang semakin meruncing akibat pencerobohan Israel,” kata Al-Habbash. 

Beliau turut menyampaikan penghargaan atas sokongan berterusan Indonesia terhadap perjuangan Palestin. 

Delegasi Palestin memberi penerangan mengenai situasi terkini di wilayah bergolak itu serta merakamkan penghargaan terhadap pendirian tegas Indonesia dalam usaha diplomatik membela hak rakyat Palestin. 

“Kami percaya kepada Indonesia dan pendiriannya dalam perjuangan Palestin, serta yakin bahawa kerajaan dan rakyat Indonesia akan terus menyokong usaha Palestin untuk mencapai kebebasan dan kemerdekaan,” katanya. 

Sementara itu, Kementerian Luar Indonesia dalam kenyataan di platform X mengecam serangan terbaharu Israel ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 404 orang awam ketika bulan Ramadan. 

Menyifatkan serangan pada Isnin itu sebagai ancaman kepada gencatan senjata dan usaha damai, Indonesia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera untuk memulihkan keamanan. 

Kementerian turut menegaskan bahawa menamatkan penjajahan Israel adalah satu-satunya jalan menuju keamanan berkekalan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan