DUNIA > BERITA

POLIS, TENTERA INDONESIA SIASAT KES PEGAWAI TERBUNUH KETIKA SERBUAN SABUNG AYAM

19/03/2025 03:05 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Mac (Bernama) -- Polis dan tentera Indonesia melancarkan siasatan bersama selepas tiga pegawai polis terbunuh dalam serbuan ke atas gelanggang sabung ayam haram di Way Kanan, wilayah Lampung pada Isnin (17 Mac). 

Ketua Polis Negara Batin Inspektor Lusiyanto, serta dua anggota dari Unit Siasatan Jenayah Way Kanan, Ketua Brigedier Petrus Apriyanto dan Brigedier Dua Ghalib Surya Ganta terbunuh semasa polis melakukan serbuan di kampung Karang Manik, mukim Negara Batin.

Ketua Polis Lampung, Inspektor Jeneral Helmy Santika berkata Unit Siasatan Jenayah dan tentera wilayah, Polis Tentera Kodam II Sriwijaya kini bekerjasama bagi mengenal pasti dalang di sebalik insiden itu. 

“Kami komited untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus,” katanya seperti dipetik Kompas TV. 

Sementara itu, polis tentera menahan dua individu susulan kejadian, namun peranan mereka dalam serangan masih belum dapat dipastikan. 

Jurucakap Kodam II Sriwijaya, Kolonel Eko Syah Putra Siregar mengesahkan dua anggota tentera telah menyerah diri dan sedang disiasat. 

Komander Korem 043, sebuah divisyen di bawah Kodam II Sriwijaya, Brigedier Jeneral Rikas Hidayatullah memberi jaminan bahawa mana-mana anggota tentera yang didapati terlibat akan dikenakan tindakan tatatertib yang tegas. 

Pihak berkuasa turut menganalisis bukti, termasuk peralatan sabung ayam dan 12 kelongsong peluru yang ditemukan di lokasi kejadian. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan