DUNIA > BERITA

ICA NASIHAT TANGGUH PERJALANAN TIDAK PENTING DI PINTU SEMPADAN DARAT SINGAPURA

21/03/2025 05:19 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Mac (Bernama) -- Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menasihatkan pengembara supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting menerusi pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas hujung minggu ini berikutan kesesakan lalu lintas yang sangat teruk di kedua-dua arah masuk dan keluar negara.

Menurut ICA, kesesakan lalu lintas bermula sejak awal cuti sekolah pada Mac dan diburukkan lagi oleh peningkatan monsun yang melanda Singapura.

"Hujan berterusan sejak dua hari lalu akibat peningkatan monsun turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di pusat pemeriksaan darat.

“Pemandu kenderaan dan motosikal terpaksa menunggu lebih dua jam untuk pemeriksaan imigresen," menurut kenyataan ICA dalam satu hantaran di Facebook.

Bagi mereka yang masih ingin meneruskan perjalanan, ICA menasihatkan supaya bersedia menghadapi kelewatan serta memeriksa keadaan trafik sebelum memulakan perjalanan.

ICA turut mengingatkan pemandu untuk menggelakkan memotong barisan, susulan beberapa laporan kemalangan jalan raya dalam tempoh dua hari lalu akibat penglihatan terhad ketika hujan lebat.

Hujan lebat melanda beberapa kawasan di Singapura pada 19 dan 20 Mac, menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi.

Monsun dijangka berlarutan hingga Jumaat, membawa hujan sederhana hingga lebat yang diramalkan meliputi seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan