DUNIA > BERITA

SUSPEK PEMERDAGANGAN MANUSIA WARGA INDONESIA DIHANTAR PULANG DARI MYANMAR 

25/03/2025 05:37 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 25 Mac (Bernama) -- Seorang warga Indonesia yang dihantar pulang dari Myanmar disyaki sebagai suspek kes pemerdagangan manusia, menurut Agensi Siasatan Jenayah Polis. 

Suspek, seorang pekerja sektor swasta berusia 27 tahun yang dikenali sebagai HR, merupakan antara 699 warga Indonesia yang dihantar pulang secara berperingkat melalui Thailand sejak Februari. 

Pihak polis percaya HR bertindak sebagai perekrut, memperdaya mangsa dengan tawaran pekerjaan perkhidmatan pelanggan bergaji tinggi di Thailand, namun sebaliknya mereka dibawa ke Myawaddy, Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai penipu dalam talian. 

"Kaedah yang digunakan adalah dengan menawarkan gaji tinggi dan kemudahan mewah melalui media sosial.

“Namun, hakikatnya mangsa dipaksa melakukan penipuan dalam talian dan dinafikan hak mereka," kata Pengarah Unit Jenayah terhadap Wanita dan Kanak-Kanak serta Pemerdagangan Manusia, Brigedier Jeneral Nurul Azizah dalam satu kenyataan. 

Mangsa direkrut menerusi Facebook, Instagram dan Telegram, dengan tawaran gaji antara IDR 10 juta (kira-kira US$630) hingga IDR 15 juta (sekitar US$950) serta kos perjalanan yang ditanggung sepenuhnya. 

Namun, setelah tiba di Myanmar, mereka dipaksa mengumpulkan nombor telefon sasaran penipuan yang berpotensi. Mereka yang gagal mencapai kuota berdepan ancaman penderaan lisan, keganasan fizikal, serta pemotongan gaji.

Polis turut menyiasat lima lagi individu yang disyaki terlibat dalam pemerdagangan manusia, dengan tiga laporan polis difailkan sebagai asas tindakan undang-undang selanjutnya. 

Sementara itu, HR berdepan pertuduhan di bawah undang-undang pemerdagangan manusia dan perlindungan pekerja migran Indonesia.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun serta denda sehingga IDR 600 juta (sekitar US$38,000). 

Pihak berkuasa menasihatkan rakyat Indonesia agar berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan tetapi tidak melalui dokumentasi sah. 

“Sentiasa pastikan pekerjaan yang ditawarkan melalui pihak berkuasa rasmi. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang boleh membawa kepada eksploitasi,” kata Nurul Azizah. 

Indonesia kini giat membawa pulang rakyatnya yang terperangkap dalam operasi yang dikaitkan dengan penipuan dalam talian di Myanmar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan