SEOUL, 27 Mac (Bernama-Yonhap) -- Kebakaran hutan yang didorong angin kencang di wilayah Gyeongsang Utara, Korea Selatan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang dan mencederakan 30 yang lain, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut pegawai, kira-kira 36,000 hektar kawasan hutan telah musnah, hampir 13,000 hektar lebih luas berbanding kebakaran di pantai timur pada tahun 2000. Kebakaran itu sebelum ini dianggap sebagai kebakaran hutan terburuk dalam sejarah negara dengan kawasan seluas 23,794 hektar musnah.
Seramai 37,000 orang telah dipindahkan, termasuk 29,911 di kawasan Uiseong dan Andong, Gyeongsang Utara.
Terdahulu, pemangku Presiden Han Duck-soo mengarahkan Pemangku Menteri Dalam Negeri Ko Ki-dong untuk berada di wilayah itu bagi menyelia usaha bantuan kepada mangsa kebakaran hutan sehingga kebakaran dapat dikawal.
“Sangat membimbangkan apabila ramai mangsa terdiri daripada warga emas, termasuk pesakit di hospital penjagaan," kata Han.
"Sila pastikan kesihatan dan keselamatan mangsa diutamakan serta aktifkan sistem sokongan yang cekap supaya anggota bomba dan sukarelawan tidak keletihan," tambahnya.
Di Gyeongsang Utara, pihak berkuasa meneruskan usaha untuk mengawal kebakaran hutan. Pegawai perhutanan mula mengerahkan helikopter, trak bomba dan anggota bomba pada 6.30 pagi bagi memadamkan kebakaran yang bermula di Daerah Uiseong, kira-kira 180 kilometer tenggara Seoul, pada Sabtu sebelum merebak dengan pantas akibat angin kencang.
Menurut pegawai cuaca, hujan kira-kira 5mm dijangka turun di wilayah itu.
Kebakaran di wilayah itu dipercayai telah meragut 21 nyawa, termasuk empat di Andong, yang menempatkan Kampung Rakyat Hahoe -- Tapak Warisan Dunia UNESCO -- dan lapan di Yeongdeok County.
Kebakaran berhampiran Kampung Rakyat Hahoe dan Byeongsan Seowon Confucian Academy, satu lagi Tapak Warisan Dunia UNESCO di Andong, dilaporkan menunjukkan tanda-tanda reda pada waktu malam.
Seorang pegawai perhutanan berkata helikopter telah bersiap sedia untuk dikerahkan ke kawasan itu, namun keadaan cuaca mungkin menyukarkan operasi pada waktu pagi.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial