KHARTOUM/ISTANBUL, 27 Mac (Bernama-Anadolu) -- Pengerusi Majlis Kedaulatan Sudan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, tiba di istana presiden di ibu negara lewat Rabu dan mengisytiharkan Khartoum sebagai “bebas” susulan pengusiran pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) .
“Ia sudah berakhir. Khartoum bebas,” kata Al-Burhan, yang juga mengetuai Angkatan Bersenjata Sudan, ketika beliau berdiri di istana berkenaan dikelilingi puluhan anggota tentera, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Terdahulu pada Rabu, platform rasmi Kerajaan Negeri Khartoum mengumumkan di Facebook bahawa ibu negara kini bebas daripada kehadiran pejuang RSF.
Lawatan Al-Burhan itu menandakan kali pertama helikopter beliau mendarat di Khartoum sejak konflik tercetus hampir dua tahun lalu.
Tentera pada Jumaat lepas mengumumkan ia telah menguasai semula istana presiden, namun RSF menolak perkembangan itu, dengan menegaskan ia bukanlah kekalahan muktamad.
Penasihat kepada komander RSF, Basha Tabiq, menolak dakwaan kemenangan tentera, dengan menegaskan menerusi platform X bahawa pasukan RSF belum “runtuh” dan “tidak akan pernah berlaku.”
Beliau menegaskan kumpulan itu masih beroperasi di Khartoum.
“Atas sebab strategi ketenteraan, kepimpinan memutuskan untuk menyusun semula kedudukan pasukan kami di Omdurman atas pelbagai faktor logistik dan operasi,” tambahnya.
Selepas RSF menawan Khartoum pada awal konflik, pihak berkuasa memindahkan pusat pentadbiran sementara ke Port Sudan di pesisir Laut Merah.
Pada Rabu, tentera meneruskan kemaraan dengan merampas semula lapangan terbang ibu negara, ibu pejabat keselamatan dan kawasan kejiranan di timur serta selatan Khartoum buat kali pertama sejak April 2023.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera turut menguasai semula bangunan kerajaan dan swasta utama di pusat Khartoum serta daerah strategik al-Muqrin.
Kawalan wilayah oleh RSF semakin menyusut dengan tentera berjaya menawan semula beberapa kawasan di Khartoum, Al-Jazira, Nil Putih, Kordofan Utara, Sennar dan Nil Biru.
Konflik antara tentera dan RSF yang bermula pertengahan April 2023 telah meragut lebih 20,000 nyawa dan menyebabkan 14 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, penyelidikan oleh universiti di Amerika Syarikat menganggarkan angka kematian mencecah sekitar 130,000 orang.
Konflik itu merebak ke 13 daripada 18 negeri di Sudan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial