DUNIA > BERITA

NAIB PRESIDEN AS MULAKAN LAWATAN EMPAT HARI KE INDIA

21/04/2025 05:08 PM

 NEW DELHI, 21 April (Bernama-dpa) -- Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke India bermula Isnin, dengan pertemuan bersama Perdana Menteri Narendra Modi dijadual berlangsung pada sebelah malam di New Delhi, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India, lawatan itu menjadi peluang penting untuk menilai kemajuan hubungan dua hala, dengan tumpuan khusus kepada kerjasama ekonomi dan perdagangan.

Isu dasar luar serta keselamatan juga dijangka menjadi agenda utama perbincangan.

Lawatan ini menyusul selepas kunjungan Modi ke Washington dua bulan lalu yang menyaksikan beliau bertemu Presiden Donald Trump.

Ketika itu, kedua-dua pemimpin bersetuju meletakkan sasaran untuk menggandakan jumlah perdagangan dua hala kepada US$500 bilion menjelang 2030.

Namun tidak lama selepas lawatan itu, Trump mengenakan tarif sebanyak 26 peratus ke atas barangan dari India sebagai sebahagian daripada dasar perdagangan baharu yang turut melibatkan beberapa negara lain.

Tarif itu kemudiannya ditangguhkan selama 90 hari mulai 9 April lalu bagi memberi ruang kepada rundingan.

Sejak itu, pentadbiran Trump mula merintis perjanjian perdagangan secara individu dengan rakan-rakan strategik, termasuk India.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan